puah dok sajo

Monday, April 25, 2011

DIRI PADA TAHAP NAFSU DIREDHAI ALLAH


MINGGU lalu kita membincangkan mengenai nafsu ammarah, tangga paling rendah yang mengakibatkan diri selalu diselubungi keburukan dan maksiat. Di tangga kedua ialah nafsu lawwamah, kemudian diikuti tahap lebih baik nafsu mulhimah, muthmainnah dan nafsu radiah serta mardiyah.

Nafsu lawwamah
Nama ini diambil daripada al-Quran, sebagaimana pada ayat 2 dari surah al-Qiyamah, maksudnya: "Dan aku bersumpah dengan an-nafsul-lawwaamah (bahawa kamu akan dibangkitkan sesudah mati)." Diri pada tahap ini meningkat sedikit, berbanding diri yang dikuasai nafsu ammarah. Jika pada tahap nafsu ammarah diri tidak terkilan dengan kesalahan dilakukan, bahkan megah dengan dosa, tetapi pada tahap ini diri kesal atas keterlanjuran dan kekurangannya menunaikan kewajipan. Di dalam diri terasa seperti ada sesuatu yang mencelanya. Tetapi dengan adanya suara celaan dari dalam diri itu menunjukkan ia masih hidup. Walaupun berpenyakit masih belum parah.
.
Nafsu mulhimah
Sesetengah ulama tidak memasukkan tahap ini dalam peringkat sifat yang dilalui diri manusia. Tetapi ramai juga dari kalangan ulama terutama ahli sufi yang memasukkan peringkat ini seperti diisyaratkan al-Quran, maksudnya: "Serta mengilhamkannya jalan yang membawanya kepada kejahatan dan ketakwaan." (QS As-Syams:8) Nas terbabit pada amnya menjelaskan manusia boleh menerima suatu saranan di dalam dirinya sama ada berunsur kejahatan atau kebaikan. Ini juga menunjukkan diri seseorang sentiasa diilhamkan dua unsur; kejahatan dan kebaikan. Berdasarkan nas dan sejarah hidup manusia sepanjang zaman membuktikan di dalam diri manusia ada satu daripada dua unsur itu, seperti suatu alat yang dapat mengesan gelombang suara dari alam ghaib. Fenomena ini adalah realiti yang diakui tanpa diragui. Dalam bidang ilmu, fenomena ini dikaji ahli psikologi. Pelbagai pendapat dan istilah dikemukakan, namun semua kajian menyakini fenomena terbabit sekalipun berbeza dari segi penafsirannya.
.
Nafsu muthmainnah
Nafsu di tahap ini lebih sempurna, dari sudut usaha menyucikan (tazkiyah) dan melakukan jihad (mujahadah) terhadap nafsunya. Hasil dari jihad nafsu yang tabiatnya sentiasa bergelora dan membara tanpa ada batas kepuasan, berpandukan syariat Allah dan jauh daripada maksiat, zahir dan batin, menjadikan diri mencapai ketenangan. Peringkat ini tidak dapat dirasakan melainkan selepas diri merasakan damai terhadap hukum Allah dan manhajnya, ketentuan qada dan qadar (takdir), mengingati Allah dan khusyuk dalam ibadat. Malah, diri tenang menghayati konsep kehambaan diri kepada Allah, sentiasa kembali kepada Allah dan hatinya pula sejahtera daripada segala penyakit. Diri dalam peringkat ini akan mudah terasa dengan kesalahan dan dosa manakala ukuran dan timbangan terhadap sesuatu amal kebaikan semakin cermat. Kedamaiannya dinikmati oleh diri dan oleh orang sekelilingnya, bahkan kadangkala menjadi penaung kepada mereka yang diburu kerisauan dan keresahan hidup. Diri di peringkat inilah yang mendapat panggilan Ilahi sebagai 'hambaKu' (ibadi) dan tentunya akan mendapat ganjaran syurga.
.
Nafsu radiyah
Diri di tahap ini dapat mendiamkan syaitan dari dalam dirinya. Allah menurunkan ketenangan ke dalam hatinya. Diri akan menghayati sifat reda dan menjadi maqamnya (tahap kedudukan), namun diri ini masih bimbang dan berasa belum diterima Allah.
.
Nafsu mardiyah
Diri di tahap ini diredai Allah. Diri yang mencapai peringkat ini akan dapat merasakan maqamnya (tahap kedudukan) diterima Allah. Tetapi rasaan ini bukanlah suatu yang dibuat-buat dan sekadar satu dakwaan sedangkan sebenarnya tidak ada pada batin dirinya. Rasaan itu adalah pemberian Allah sebagai 'busyra' (khabar gembira) dari Allah kepada hamba-Nya yang diredai ketika mereka masih lagi hidup di dunia. Istilah pada diri di tahap ini diilhamkan dari al-Quran. Tahap ini yang dihayati serta dilaksanakan dengan penuh kesungguhan dan keazaman oleh tokoh kerohanian Islam seperti ahli sufi. Bagi kita yang bukan ahlinya dan tidak menempuhinya, selayaknya kita menerimanya selaras dengan anjuran al-Quran. "Dan Kami tidak mengutus Rasul-rasul sebelummu melainkan orang lelaki yang Kami wahikan kepada mereka; maka bertanyalah kamu kepada ahlu'dz-dzikri jika kamu tidak mengetahui." (QS Al-Anbiya':7)

FROM(TIGOSOTIGO.BLOGSPOT)

11 jenis manusia di doa malaikat

SEBELAS JENIS MANUSIA DI DOA MALAIKAT

PERCAYA kepada malaikat adalah antara rukun iman . Ada malaikat yang ditugaskan berdoa kepada makhluk manusia dan sudah tentu seseorang yang didoakan malaikat mendapat keistimewaan. Dalam hidup, kita sangat memerlukan bantuan rohani dalam menghadapi ujian yang kian mencabar. Bantuan dan sokongan malaikat sangat diperlukan.Kali ini penulis ingin menyenaraikan antara jenis manusia yang akan menerima doa malaikat. Ketika itulah sewaktu kita menghadapi masalah, kerumitan, keperluan dan bimbingan, bukan saja kita perlukan kekuatan doa dari lidah, tetapi juga sokongan malaikat.

Peringatan diri: Solat itu wajib, jangan biarkan diri di mamah usia dengan kekosongan rohani. Isikan dengan zat-zat yang berguna. Sebaik-baik rumah adalah Syurga. Sewanya dibayar dengan solat 5 waktu, puasa, zakat dan sunnah Rasulullah. Seburuk-buruk tempat adalah neraka. Hindarkanlah dengan solat 5 waktu, puasa, zakat dan sunnah Rasulullah. Kubur yang luas kerana solat 5 waktu, puasa, zakat dan sunnah Rasulullah. Kubur yang sempit kerana tidak solat 5 waktu, puasa, zakat dan sunnah Rasulullah. Lakukan sebaik mungkin yang wajib, insyaallah yang sunat pun akan berkat. Amin.

ANTARA ORANG YANG MENDAPAT DOA MALAIKAT IALAH:

1. Orang yang tidur dalam keadaan bersuci.
Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: “Sesiapa yang tidur dalam keadaan suci, malaikat akan bersamanya di dalam pakaiannya. Dia tidak akan bangun hingga malaikat berdoa: “Ya Allah, ampunilah hamba-Mu si fulan kerana tidur dalam keadaan suci.”

2. Orang yang sedang duduk menunggu waktu solat.
Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya: “Tidaklah salah seorang antara kalian yang duduk menunggu solat, selama ia berada dalam keadaan suci, kecuali kalangan malaikat akan mendoakannya: ‘Ya Allah, ampunilah ia. Ya Allah sayangilah ia.’”

3. Orang yang berada di saf depan solat berjemaah.
Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: “Sesungguhnya Allah dan kalangan malaikat-Nya berselawat ke atas (orang) yang berada pada saf depan.”

4. Orang yang menyambung saf pada solat berjemaah (tidak membiarkan kekosongan di dalam saf).
Rasulullah S.A.W bersabda, maksudnya: “Sesungguhnya Allah dan kalangan malaikat selalu berselawat kepada orang yang menyambung saf.”

5. Kalangan malaikat mengucapkan ‘amin’ ketika seorang imam selesai membaca al-Fatihah.
Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya: “Jika seorang imam membaca…(ayat terakhir al-Fatihah sehingga selesai), ucapkanlah oleh kamu ‘aamiin’ kerana sesiapa yang ucapannya itu bertepatan dengan ucapan malaikat, dia akan diampuni dosanya yang lalu.”

6. Orang yang duduk di tempat solatnya selepas melakukan solat.
Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: “Kalangan malaikat akan selalu berselawat kepada satu antara kalian selama ia ada di dalam tempat solat, dimana ia melakukan solat.”

7. Orang yang melakukan solat Subuh dan Asar secara berjemaah.
Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya: “Kalangan malaikat berkumpul pada saat solat Subuh lalu malaikat (yang menyertai hamba) pada malam hari (yang sudah bertugas malam hari hingga Subuh) naik (ke langit) dan malaikat pada siang hari tetap tinggal.

“Kemudian mereka berkumpul lagi pada waktu solat Asar dan malaikat yang ditugaskan pada siang hari (hingga solat Asar) naik (ke langit) sedangkan malaikat yang bertugas pada malam hari tetap tinggal lalu Allah bertanya kepada mereka: “Bagai mana kalian meninggalkan hamba-Ku?”

Mereka menjawab: ‘Kami datang sedangkan mereka sedang melakukan solat dan kami tinggalkan mereka sedangkan mereka sedang melakukan solat, ampunilah mereka pada hari kiamat.’”

8. Orang yang mendoakan saudaranya tanpa pengetahuan orang yang didoakan.

Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: “Doa seorang Muslim untuk saudaranya yang dilakukan tanpa pengetahuan orang yang didoakannya adalah doa yang akan dikabulkan. Pada kepalanya ada seorang malaikat yang menjadi wakil baginya, setiap kali dia berdoa untuk saudaranya dengan sebuah kebaikan, malaikat itu berkata ‘aamiin dan engkau pun mendapatkan apa yang ia dapatkan.’”

**Tambahan: Juga beristighfarlah 25 kali setiap hari untuk seluruh muslimin dan muslimat.

9 . Orang yang membelanjakan harta (infak).
Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: “Tidak satu hari pun di mana pagi harinya seorang hamba ada padanya kecuali dua malaikat turun kepadanya, satu antara kedua-duanya berkata: ‘Ya Allah, berikanlah ganti bagi orang yang berinfak…’ “

10. Orang yang sedang makan sahur.
Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya: “Sesungguhnya Allah dan kalangan malaikat-Nya berselawat kepada orang yang sedang makan sahur.”

11. Orang yang sedang menjenguk (melawat) orang sakit.
Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: “Tidaklah seorang mukmin menjenguk saudaranya kecuali Allah akan mengutus 70,000 malaikat untuknya yang akan berselawat kepadanya di waktu siang hingga petang dan di waktu malam hingga Subuh.”

Saturday, April 23, 2011

BIMBINGAN MUKMIN: MENCELA MARAH, DENDAM & DENGKI

Marah itu sebenarnya ialah secebis api yang bersumber dari api Allah yang bernyala-nyala, yang panasnya naik ke pangkal hati, dan api itu bersemadi pula di dalam lubuk hati hingga berbara, kemudian diselaputi oleh abunya. Daripadanya terpancar sifat bongkak yang terpendam di dalam hati setiap orang yang sombong dan bongkak, seperti terpancarnya api dari batu yang bergesek dengan besi.

Orang yang melihat dengan nurul-yaqin (cahaya keyakinan) dapat menyingkap, bahawa dari manusia itu telah ditarik sepotong urat, berhubungan dengan syaitan yang terkutuk, apabila api kemarahannya mula berkobar-kobar, maka hubungan itu menjadi kukuh, sebagaimana pernah diucapkan oleh syaitan sendiri dan diceritakan dalam al-Quran: “
Engkau (Tuhan) telah menciptakan aku dari api, dan engkau ciptakan ia (manusia) dari tanah.” (al-A’raf: 12) Bukankah sifat tanah itu sentiasa bertenang dan tetap manakala sifat api pula bernyala-nyala, menyerang, berkobar-kobar dan bergejolak.

Kemudian timbul dari sifat marah itu perasaan-perasaan yang lain, iaitu dendam, hasad dan dengki, dan menerusi sifat-sifat inilah telah banyak orang yang binasa dan banyak juga orang yang rosak. Pokok segala kebinasaan dan kerosakan itu, bersebab dari segumpal daging (hati), jika daging itu dijaga dengan baik, baik pulalah seluruh tubuh.

Jika sekiranya kita telah mengetahui, bahawa sifat-sifat dendam, dengki dan marah itu di antara sifat-sifat yang menarik manusia kepada sebab-sebab kemusnahan dan kecelakaan, maka alangkah perlunya manusia itu untuk mengetahui sebab-sebab pendorongnya atau punca-punca perosaknya, agar ia dapat menghindarkan diri daripada bahaya-bahaya itu, dan agar ia dapat berhati-hati dan menjauhkannya dari hati dengan seberapa yang boleh.

Kecelaan sifat marah
Allah SWT berfirman: “
Perhatikanlah ketika Allah menimbulkan dalam hati orang-orang yang tidak beriman kepadaNya itu, perasaan sombong; iaitu sifat sombong zaman jahiliah, lalu Allah menurunkan pula ketenanganNya ke atas RasulNya dan ke atas kaum Mukminin.” (QS al-Fath: 26)

Ayat ini telah mencela kaum Musyrikin atau orang-orang yang tidak beriman dengan Allah Ta’ala, disebabkan mereka telah melahirkan perasaan sombong yang timbul dari sebab marah terhadap yang hak dan membela yang batil. Begitu pula ia telah memuji juga kaum Mukminin, atau orang-orang yang beriman dengan Allah SWT, disebabkan sikap mereka yang menerima yang hak, lalu diturunkan ke atas mereka perasaan yang tenang.

Diriwayatkan ada seorang telah mendatangi Rasulullah SAW sambil memohon supaya baginda mewasiatkan sesuatu wasiat yang pendek dan sedikit saja. Maka baginda bersabda kepadanya: "
Jangan marah!" Diulangi permintaannya lagi maka baginda sekali lagi: "Jangan marah!"

Rasulullah SAW pernah bertanya kepada para sahabat: "Apakah yang kamu dapat fahamkan tentang maksud bergelut?" Kata para sahabat: "Penggusti yang tidak dapat ditumbangkan dalam pergelutannya." Sabda baginda: "
Bukan itu yang aku maksudkan. Tetapi orang yang bergelut itu ialah orang yang dapat menahan dirinya, ketika dalam kemuncak kemarahannya."

Berkata Ja’far r.a.: "
Kemarahan itu kunci segala kecelakaan." Setengah para sahabat berkata: "Pokok dan pangkal sifat bodoh itu, ialah degil dan pemimpinnya ialah marah." "Barangsiapa yang meredhakan dirinya dengan kejahilan, tidaklah perlu lagi baginya sifat toleransi. Toleransi adalah sifat yang baik dan banyak mendatangkan manfaat. Sedang kejahilan pula adalah sifat yang buruk dan mendatangkan banyak mudharat. Berdiam diri atau tidak melayani pertanyaan seorang yang bodoh adalah jawabnya."

Berkata al-Hasan pula: "
Di antara tanda-tanda seorang Muslim yang sejati, ialah teguh agama, lemah-lembut kelakuan, penuh iman dan yakin, berilmu pengetahuan dan bertoleransi, pandai menjaga kepentingan dan berbelas kasihan, selalu memberi dengan hak, tidak boros meskipun kaya, murah hati meskipun miskin, berbuat baik walaupun berkuasa, menanggung jerih-perih bersama kawan-kawan, bersabar walaupun susah, tiada dikuasai oleh kemarahan, tiada selalu menurutkan perasaan, tiada dipengaruhi oleh syahwat dan nafsu, tiada dimalukan oleh kebatinan, tiada mementingkan keinginan, tiada terhad niat baik, sering menolong orang yang teraniaya, mengasihani orang yang lemah, tidak kikir dan tidak boros, tidak berbelanja berlebihan-lebihan dan tidak mengenggam tangan, bersedia mengampuni orang yang menganiayai, suka memaafkan orang bodoh, biarlah dirinya berada di dalam kepayahan asalkan semua orang berada di dalam kesenangan."

Tingkatan manusia ketika marah
Ketahuilah bahawasanya keganasan marah itu berpunca dari hati. Maknanya darah yang berada di dalam hati sedang menggelegak, lalu darah itu pun mengalir ke dalam urat-urat badan, dan terus memuncak tinggi ke anggota badan yang teratas sekali, sebagaimana api dan air memuncak tinggi ketika makanan mendidih di dalam periuk. Oleh kerana itu bila marah mula memuncak, kelihatanlah darah manusia itu menyerap ke muka, sehingga wajah dan mata menjadi merah padam, dan kulit pula kerana kejernihannya, dapat menampakkan warna air yang di dalamnya.

Manusia dalam menghadapi keganasan marah terbahagi kepada tiga bahagian:
a. Ketiadaan sifat marah
b. Keterlampauan sifat marah
c. Pertengahan antara marah dan tidak marah

Ketiadaan sifat marah
Orang yang tiada bersifat pemarah, ataupun yang lemah sifat kemarahannya itu tercela. Itulah orang yang dikatakan tidak mempunyai sifat cemburu pada diri. Allah SWT telah mensifatkan para sahabat Nabi SAW dengan terkadang-kadang bersifat keras dan berperasaan cemburu atas diri seperti firman Allah ta’ala: “
Mereka itu bersikap keras terhadap orang-orang kafir.” Allah SWT telah berfirman ke atas NabiNya SAW: "Perangilah orang-orang kafir dan orang-orang munafik itu, dan bersikap keraslah terhadap mereka.” (QS at-Tahrim:9)

Yang dikatakan bersikap keras dan tegas itu adalah bersumber dari adanya tanda-tanda kekuatan cemburu dalam diri, iaitu yang menyebabkan sifat marah.

Keterlampauan sifat marah
Yang dikatakan keterlampauan dalam marah itu, ialah bila sifat marah itu tidak dapat dikuasai lagi, sehingga ia terkeluar dari batas pertimbangan akal dan agama dan kepatuhannya. Orang yang bersikap seperti itu, tentulah tidak lagi mempunyai bashirah atau matahati yang dipandang dengannya, atau pemikiran untuk menimbang dengan akalnya dan ia tidak pilihan lagi, melainkan seperti seorang yang terpaksa sahaja.

Di antara tanda-tanda marah pada lahirnya ialah
berubah warna kulit, menggeletar kaki tangan, kelakuan tidak menurut ketertiban dan ketentuan yang biasa, gerak-geri tidak menentu arah lagi, percakapan bercampur suara marah keluar dari rahangnya, mata merah padam, lubang hidung kembang kuncup, batang tubuh berupah rupa. Andaikata si pemarah ketika sedang marah dapat mengesan betapa buruk sifatnya pada masa itu, nescaya ia akan melenyapkan kemarahannya serta-merta, kerana sangat malu melihat keburukan sifatnya dan perubahan bentuk dan rupanya pada ketika itu. Ini hanya pada sifat lahiriahnya saja, dan sifat batinya tentulah lebih buruk lagi dari sifat lahirnya, kerana sifat lahir menunjukkan kepada sifat batin. Yang lazimnya bila rosak, rosak dululah sifat batin, lalu kerosakan itu berjangkit pada sifat lahir pula. Oleh itu dikatakan kerosakan pada lahir adalah pertanda adanya kerosakan pada batin. Bandingkanlah pohon dengan buahnya. Beginilah kesan-kesan atau tanda-tanda sifat terlampau marah itu pada tubuh badan.

Adapun kesan-kesan atau tanda-tanda kemarahan yang terdapat pada lidah, umpamanya kelancangan lidah ketika menyebutkan caci-maki, dan kata-kata yang terkeji dalam percakapan, yang apabila didengar oleh orang yang waras fikiran, nescaya ia akan merasa malu dan segan, dan kalau diceritakan semula kepada orang yang mengucapkannya setelah hilang marahnya, tentu sekali ia juga akan merasa malu dan menyesal atas kelakuannya itu. Sebab ketika ia marah tadi, percakapannya kelam-kabut dan tidak teratur, sehingga semua perkataan-perkataan yang keluar dari mulutnya itu tidak menerima pertimbangan akal fikiran yang waras dan wajar.

Tentang kesan-kesan marah dan alamat-alamatya pada anggota, ialah
suka memukul, menyerang, menghancurkan harta benda, melukai bahkan membunuh sekalipun, jika berkuasa melakukan seperti itu. Malah ada kalanya ia sampai menganiaya diri sendiri, mengoyak-ngoyakkan pakaiannya, memukul-mukul dirinya, atau terkadang-kadang ia memukul-mukul tanah. Biasa juga orang yang berkelakuan begini diserang oleh perasaan tidak sedarkan diri, sehingga semua tindakanya itu seperti tidakan orang tak siuman atau hilang akal. Orang yang dalam keadaan begini, tidak mustahil akan merosakkan harta benda, menganiaya binatang, memecahkan pinggan-mangkuk, ataupun sampai memaki-maki binatang. Tidaklah hairan pula, jika binatang itu menendangnya, ia akan menendang balik binatang itu. Jelaslah ketika itu, ia akan bersikap seperti orang gila.

Adapun kesan-kesan dan tanda-tandanya pada hati pula, ialah lahirnya sifat-sifat
dendam dan dengki, memendamkan niat jahat terhadap orang lain, suka bersifat dengan segala sifat-sifat yang dicela dan dikeji. Ia tidak senang apabila melihat orang bergembira. Ia tidak segan untuk membocorkan rahsia orang. Ia suka melanggar penghormatan orang dan mengejek-ejeknya. Pendek kata semua sifat-sifat yang buruk itu akan dilengkapinya di dalam dirinya. Demikianlah hasil sifat marah yang berlebih-lebihan atau yang melampaui batas.

Manakala hasil sifat marah yang lemah, ialah ketiadaan harga diri sama sekali untuk menentang sesuatu yang mengganggu kehormatan peribadi dan kehormatan isteri. Ia bersifat acuh tak acuh saja, ketika peribadinya dihinakankan oleh orang-orang yang rendah budinya. Ia merasakan dirinya terlalu kecil dan rendah untuk mempertahankan peribadinya dari kecaman orang lain. Ini juga termasuk sifat yang tercela, sebab ia menelurkan sikap tidak cemburu ke atas kehormatan diri dan keluarga, padahal melindunginya dari pencabulan adalah wajib.

Rasulullah SAW telah bersabda: “
Sesungguhnya Sa’ad orang yang cemburu, dan saya lebih cemburu dari Sa’ad, manakala Allah pula lebih cemburu dari saya.”

Sifat cemburu itu dijadikan semata-mata kerana memelihara keturunan. Andaikata manusia amat bersenang-senang dalam soal cemburu ini, nescaya keturunannya akan bercampur aduk dan tidak terpelihara. Sebab itu ada pepatah mengatakan: "
Setiap ummat yang menentukan sifat cemburu pada kaum lelakinya, nescaya terpeliharalah kaum wanitanya." Dari sebab lemahnya sifat marah, akan timbul pula sifat suka menganiayai diri, serta mendiamkan diri apabila menyaksikan berbagai-bagai kemungkaran yang dilakukan. Allah SWT telah berfirman: “Dan jangan kamu semua merasa belas kasihan terhadap kedua penzina itu dalam menjalankan agama (hukuman) Allah.”

Tegasnya, ketiadaan sifat marah dalam diri adalah tercela. Tetapi yang baiknya adalah sifat marah yang terpimpin oleh pertimbangan akal dan perintah agama. Adakalanya marah itu perlu dan adakala penyantun pula yang perlu, tetapi sebaik-baiknya mengendalikan kedua-dua sifat marah dan penyantun itu menurut batas pertengahan,
kalau marah jangan berlebih-lebihan, dan kalau penyantun pun jangan sampai melampaui batas. Biarlah yang dilakukan itu pertengahan, seperti yang dianjurkan oleh Allah SWT ke atas sekalian hamba-hambaNya, iaitu cara pertengahan yang disifatkan oleh Rasulullah SAW dalam salah sebuah sabdanya: “Sebaik-baik perkara ialah yang pertengahan.”

Melenyapkan marah dengan latihan diri
Ketahuilah selagi manusia tetap bersifat suka dan benci sesuatu, maka ia tidak terlepas dari sifat jengkel dan marah, sebab kedua-dua sifat itu menjadi sebahagian dari tabiat semula jadi manusia. Akan tetapi latihan diri itu perlu juga dijaga untuk menghapuskan keganasan marah itu; iaitu dengan jalan perjuangan dan memaksa diri dengan sifat penyantunan dan penanggungan seketika waktu, sehingga semua sifat-sifat itu menjadi kebiasaan dan kelakuan yang kekal dalam diri.

Dengan latihan-latihan di atas itu saja tidak boleh sama sekali menghapuskan kemarahan hati, kerana yang demikian itu memang tidak mungkin. Tetapi tujuannya ialah untuk memimpinnya ke batas yang dianjurkan oleh syara’ dan dipandang baik oleh akal fikiran.
Caranya ialah dengan mematahkan gejolaknya dan melemahkannya, sehingga api kemarahan itu tidak menyala-nyala di dalam batinnya. Perbuatan itu diteruskan sehingga kesan-kesannya tiada lagi kelihatan di wajah.

Adakalanya kemarahan seseorang itu dapat dilenyapkan dengan mengalihkan pemikirannya kepada pentauhidan Zat Allah Ta’ala, ataupun mengingatkan dirinya bahawa Allah SWT menginginkannya supaya ia tidak marah. Mungkin pengaruh cintanya kepada Allah Ta’ala itu dapat menolong memadamkan api kemarahannya, ataupun mengalihkan perhatian hati kepada perkara yang lebih penting daripada kemarahan itu. Ketika itu hatinya tidak ada tempat lagi untuk menyimpan marah, sebab ia telah dikuasai oleh urusan lain yang lebih penting. Apabila hati sedang sibuk dengan perkara-perkara yang penting, tentulah ia akan menyisihkan ke samping perkara-perkara yang kurang penting.

Sebab-sebab kemarahan
Anda telah mengetahui, bahawa ubat segala penyakit mestilah dengan memotong pangkalnya dan melenyapkan sebab-sebabnya. Dengan hal yang demikian, maka anda mestilah mengetahui sebab dan punca timbulnya kemarahan itu terlebih dulu.
Sebab-sebab yang membangkitkan kemarahan itu, ialah meninggi diri, ujub dan bangga, senda gurau, omong kosong, mengejek-ejek, mencela, berbantah-bantah, berlawan-lawan, berkhianat, kemahuan yang tak terbatas pada mencari wang dan menuntut kedudukan; semua sifat-sifat ini merupakan perilaku-perilaku yang tercela di dalam syariat Islam. Seseorang itu tidak mungkin terlepas dari sifat marah, selagi semua sifat-sifat ini masih kekal di dalam dirinya. Maka sayugialah, ia bersungguh-sungguh untuk menghapuskan segala sifat-sifat ini dengan sifat-sifat lawannya.

Hendaklah menyirnakan sifat membesar diri dengan merendah diri, menyirnakan sifat ujub dan bangga diri dengan mengenal diri sendiri, menyimpan sifat memuji diri dengan mengingati diri bahawa ia adalah dari jenis makhluk yang sangat rendah, yang bersatu keturunan dengan bapa yang satu, iaitu Adam a.s. Seterusnya untuk menyirnakan sifat megah diri pula, ialah dengan mengerjakan seberapa banyak kebajikan dan kebaikan dan hendaklah ia menyakini bahawa sifat megah diri atau bangga diri itu, adalah termasuk sifat-sifat yang amat tercela.

Adalah sifat senda gurauan itu, dapat disirnakan dengan menyibukkan diri dengan urusan-urusan agama yang penting, sehingga mengambil masa yang lanjut dari umur, ataupun lebih dari itu. Sifat suka beromong kosong dapat disirnakan dengan melakukan pekerjaan-pekerjaan yang berguna yang mendatangkan feadah, seperti mencari kelebihan-kelebihan hidup, mendidik diri dengan akhlak dan budi pekerti yang terpuji, dan menlengkapkan diri dengan berbagai-bagai ilmu pengetahuan agama yang boleh menyampaikan kepada kebahagiaan akhirat.

Seterusnya untuk menyirnakan sifat mengejek-ejek itu, dengan mengekang diri dari berbuat sesuatu yang boleh menyakiti orang lain, dan memeliharanya dari apa saja yang boleh menyebabkan orang lain mengejek balik. Sifat suka mencela orang lain dapat disirnakan dengan sentiasa menahan diri dari segala kaata-kaata yang tidak senonoh, dan memeliharanya juga dari menjawab orang lain dengan kata-kata pedas.

Adapun sifat suka mementingkan diri sendiri, dapat disirnakan dengan banyak-banyak sabar ke atas kepahitan hidup, dan selalu bersyukur terhadap apa yang telah ditakdirkan oleh Allah sekadar yang termampu, untuk menjaga kemulian diri dari suka meminta-minta dan mengangkatnya dari kehinaan keperluan yang tidak ada batasnya.

Setiap perilaku dari perilaku-perilaku ini, dan setiap sifat dari sifat-sifat ini, memerlukan pengikisan dan pengubatan melalui jalan latihan dan penanggungan terhadap semua percubaannya. Tujuan menjalankan latihan seumpama ini, ialah untuk mengetahui kebencanaan sifat-sifatnya, agar jiwa merasa tidak senang kepadanya, dan melarikan diri dari segala keburukan-keburukan sifat-sifat tersebut. Kemudian membiasakan diri bersifat dengan sifat-sifat lawannya setakat jangka masa yang panjang pula, sehingga dengan kebiasaan itu dapat diterapkan kepada jiwa sifat-sifat yanfg baru itu, manakala jiwa pun tidak merasa berat untuk menerimanya setelah sifat-sifat itu menjadi kebiasaannya.

Apabila sifat buruk dan tercela itu telah disirnakan dari jiwa dan dihapuskan sama sekali, maka ketika itu jiwa akan suci murni, bersih dari segala sifat-sifat keji, dan barulah ia akan terselamat dari angkara sifat marah yang mencetuskan segala sifat-sifat yang tak baik itu.

Sementara itu punca utama yang menimbulkan sifat marah pada golongan orang yang bodoh dan jahil itu, ialah anggapan mereka bahawa sifat marah itu adalah semacam keberanian, ketangkasan dan kemuliaan diri. Sebab itulah, maka jiwa orang-orang ini tertarik kepada sifat marah, dan menganggapnya suatu sifat yang baik, Anggapan ini adalah suatu kebodohan dan kejahilan dalam diri, maka suatu penyakit dalam hati dan kurang pentimbangan dalam akal fikiran.

Untuk mengubati penyakit orang-orang bodoh ini, ialah dengan mendengarkan kepada mereka cerita-cerita para ahli penyantun dan pemaaf, dan menunjukkan kepada mereka bagaimana orang-orang itu memilih cara menahan diri dari marah. Cara beginilah yang merupakan sebaik-baik cara, sebab telah dipraktikkan oleh para Nabi dan para ulama yang terdahulu.

Bagaimana mengubati kemarahan yang sedang bergejolak
Apa yang dihuraikan pada lembaran-lembaran yang lalu, ialah bagaimana caranya hendak melenyapkan pangkal kemarahan dan menghapuskan sebab-sebabnya, supaya ia tiada terus bergejolak. Tetapi jika ini tidak berjaya, malah sebab-sebab kemarahan itu hidup juga, maka ketika itu hendakkah menetapkan diri supaya orang yang dihinggapi penyakit ini, tiada sampai terpaksa melakukan sesuatu menurut wajah yang tercela. Sayugialah ia menyegerakan pengubatan kemarahannya itu, dalam seketika bernyala-nyalanya, dengan pati dan inti ilmu pengetahuan dan amalan.

Untuk mengubati penyakit marah menerusi ilmu pengetahuan, ada beberapa caranya, iaitu:

Pertama: Hendaklah anda cuba mengingatkan kembali segala anjuran-anjuran yang ditunjuk oleh syariat dalam keutamaan dan kelebihan sifat-sifat menahan marah, pemaaf, penyantun dan menanggung perilaku buruk. Dengan jalan itu jiwa anda akan inginkan pahala yang dijanjikan kerana menolak kemarahan itu, lalu anda akan menentang keinginan diri untuk membalas dendam, maka dengan itu perasaan marah anda akan terhapus dari dalam diri.

Kedua: Hendaklah anda ingat tentang ancaman Allah Ta’ala dan siksaanNya, andaikata diteruskan juga sifat marah anda itu. Anda harus merenung pula, apakah anda boleh terselamat dari kemurkaan Allah Ta’ala pada Hari Kiamat kelak, meskipun ketika itu anda sangat memerlukan kepada pengampunan dan kemaafan Allah Ta’ala.

Ketiga: Hendaklah anda ingat akan akibat permusuhan dan pembalasan dendam lawan anda, kelak sudah barang tentu ia akan berusaha untuk menceroboh kehormatan diri anda. Ia akan cuba menjaja segala keburukan anda. Ia akan merasa suka, bila anda tertimpa sesuatu bencana, sedangkan anda sendiri tentu sekali tidak sunyi dari berbagai-bagai keburukan dan kecelaan diri. Dengan yang demikian, anda akan merasakan keburukan akibat marah itu di dunia, kiranya anda masih tidak mengendahkan akan akibat dosanya di akhirat.

Keempat: Hendaklah anda gambarkan bertapa buruknya rupa anda kelak bila anda marah, iaitu dengan mengingat rupa orang lain ketika dalam dalam kemarahan. Bayangkanlah rupa anda yang buruk ketika itu, dengan rupa sahabat ada yang diumpamakan seperti anjing galak yang hendak menerkam, atau seekor binatang buas yang mengganas. Kemudian bayangkanlah pula seorang penyantun yang bertenang saja, yang tidak suka marah-marah, yang menurut perilaku para Nabi, para wali, para alim ulama dan orang-orang yang bijaksana. Pilihlah antara dua perilaku itu, mana yang lebih sesuai bagimu? Menyerupakan dirimu dengan perilaku anjing-anjing, binatang-binatang buas dan orang-orang yang tercela kelakuannya? Ataupun menyerupakan dengan perilaku para Nabi dan alim ulama dalam adat kebiasaannya, supaya jiwa anda kelak tertarik kepada perjalanan hidup mereka itu, itu pun jika ada lagi padamu sedikit otak yang boleh memikirkan baik buruknya kedua-dua perilaku tadi.

Kelima: Hendaklah anda fikirkan apa sebabnya anda ingin membalas dendam? Dan apa pula sebabnya anda tidak dapat menahan diri dari kemarahan itu? Mungkin juga syaitan membisikkan di telinga anda, bahawa sikap itu akan menunjukkan kelemahan dan kehinaan diri, dan anda akan kelihatan rendah di mata orang ramai. Ketika itu hendakkah anda menjawabnya dengan berkata: "Wahai nafsu! Aneh sekali engkau ini. Engkau tak sanggup menahan penghinaan sekarang. Apakah engkau lebih sanggup menahan penghinaan di Hari Kiamat kelak? Apakah engkau tidak bimbang, kelak di sana engkau akan dihinadinakan di hadapan Allah, para Malaikat dan pada NabiNya?"

Apabila anda menahan kemarahan, maka hendaklah anda menahannya semata-mata kerana Allah. Anda menahannya juga kerana ia seperkara yang dipandang berat di sisi Allah. Jangan sampai anda terpengaruh dengan kata-kata orang, ataupun menahan kemarahan itu dengan sesuatu sebab keduniaan.

Adapun cara memadamkan api kemarahan menerusi amalan, iaitu hendaklah anda mengucap Ta’awwudz dengan lidahmu begini:
A’uudzu billaahi minash-shaithaanir-rajiim (Aku berlindung kepada Allah dari syaitan yang terkutuk). Apabila kemarahan itu muncul ketika anda sedang berdiri, maka hendaklah anda segera duduk. Jika sedang duduk, maka hendaklah anda baring. Orang yang sedang dalam kemarahan, sunat baginya mengambil wuduk dengan air yang dingin, kerana kemarahan itu berpunca dari api, manakala api itu pula tidak boleh dipadamkan melainkan dengan air.

Keutamaan menahan diri dari kemarahan
Allah s.w.t. telah berfirman: “Bersegeralah bermohon keampunan kepada Tuhan kamu, dan (memohon) syurga yang luasnya meliputi langit dan bumi yang disediakan bagi orang yang bertaqwa; iaitu mereka yang membelanjakan hartanya dalam keadaan senang dan susah, dan mereka yang menahan kemarahan dan memaafkan kesalahan orang, dan Allah amat mencintai orang-orang yang berbuat kebaikan.” (QS Ali-Imran: 133-134)

Ayat tersebut di atas telah membuktikan kepada kita, bahawa orang yang menahan kemarahannya termasuk dalam golongan muttaqin; iaitu orang-orang yang bertaqwa kepada Allah Ta’ala. Tambahan pula, bahawasanya Allah Ta’ala akan memberikan pengampuananNya kepada mereka, lalu menyediakan bagi mereka balasan syurga. Alangkah besar dan hebatnya balasan itu!

Bersabda Rasulullah SAW: “
Barangsiapa menahan kemarahannya, nescaya Allah akan menahan siksaNya terhadap orang itu. Barangsiapa mengemukakan keuzurannya kepada Allah, nescaya Allah akan menerima keuzurannya itu, dan barangsiapa menyimpan lisannya, nescaya Allah akan menutup segala keburukannya.”

Bersabda Rasulullah SAW lagi: “
Orang yang paling gagah di antara kamu, ialah orang yang dapat mengalahkan nafsunya semasa marah. Dan orang yang paling penyantun pula, ialah orang yang memberikan maaf, sedangkan ia berkuasa untuk membalas.”

Sekali peristiwa Khalifah Umar Ibnul-Khattab r.a. telah didatangi oleh seorang dusun yang berwatak kasar, lalu berkata kepadanya: "Wahai Umar! Demi Allah, engkau tidak berlaku adil dalam pemerintahanmu dan tidak memberikan secukupnya kepada kami." Mendengar itu, maka menjadi marahlah Khalifah Umar, hingga kemarahan itu ketara pada wajahnya. Tiba-tiba salah seorang para hadirin telah menyampuk dan berkata: "Wahai Amirul Mukminin! Bersabarlah. Tidakkah tuan mendengar firman Allah Ta’ala: “
Ambillah sikap pemaaf dan suruhlah orang berbuat yang baik-baik, dan jangan mengendahkan orang-orang yang bodoh itu.” (al-A’raf:199) Mendengar peringatan orang itu, Khalifah Umar pun bertenang semula, dan beliau memaafkan si penuduh itu.

Keutamaan sifat penyantun
Ketahui bahawasanya sifat penyantun itu adalah lebih utama dari sifat menahan marah, sebab menahan kemarahan itu diumpamakan sebagai perbuatan sementara dari sifat penyantun, yakni memaksa diri untuk bersifat penyantun ketika sedang marah. Sedangkan menahan kemarahan itu tidak perlu, melainkan bagi orang yang sedang berkobar-kobar kemarahannya. Kemudian untuk melenyapkan kemarahan itu, perlu pula kepada perjuangan yang sungguh-sungguh, tetapi tentulah tidak dikhuatiri lagi bahawa kemarahan itu berkobar-kobar lagi, andaikata kemarahan itu berkobar-kobar juga tidaklah menjadi sukar lagi untuk memadamkannya. Itulah yang dikatakan penyantun tab’i yang telah menjadi sifat yang utama dan terpuji.

Tegasnya penyantun itu adalah tanda-tanda kesempurnaan akal fikiran dan penguasaanya terhadap keinginan hawa nafsu yang dapat mematahkan segala kekuatan dan kegejolakan sifat marah dalam diri, serta menundukkannya menurut pertimbangan akal fikiran. Tetapi pada mulanya mestilah dicuba dengan menyantunkan diri dan menahankan kemarahan secara paksaan, sehingga akhirnya perbuatan itu menjadi suatu kebiasaan.

Dalam sebuah Hadis, Rasulullah SAW telah bersabda: “
Hanyasanya ilmu pengetahuan itu didapati dengan belajar, dan sifat penyantun didapati dengan bersopan santun” Hadis itu menunjukkan kepada kita, bahawasanya untuk melengkapkan diri dengan sifat penyantun itu, mestilah mula-mula dibiasakan diri dengan sifat itu secara paksaan, sebagaimana kalau hendak mendapatkan ilmu pengetahuan pula, mestilah dengan memaksakan diri supaya tekun belajar.

Sabda Rasulullah SAW: “
Sesungguhnya seseorang Muslim itu akan mencapai darjat orang yang berpuasa (pada siang hari) dan beribadat (pada malam hari) menerusi sifat penyantun.”

Al-Hasan, ketika memberikan komennya terhadap ayat berikut berkata: “
Dan apabila orang-orang bodoh itu berkata kepada mereka, nescaya dijawabnya: Selamat sejahtera.” (QS Al-Furqan: 63) Ia berkata: "Maksudnya orang-orang itu bersifat penyantun, mereka tidak ingin membalas orang-orang bodoh itu dengan cara yang setimpal, seperti yang diperlakukan kepada diri mereka".

Dari Mujahid, ketika memberikan komennya terhadap ayat berikut pula: “
Dan apabila mereka melalui di hadapan orang-orang yang beromong kosong itu, mereka berlalu secara hormat (tidak pedulikan mereka itu)” (QS Al-Furqan: 72) Kata Mujahid: "Maksudnya apabila mereka disakiti dan dianiayai, nescaya mereka memaafkan saja. Ini juga termasuk sifat penyantun."

Dari Ali bin Abu Talib r.a., katanya: "
Bukanlah kebaikan itu bila harta kekayaanmu bertimbun-timbun dan anak pinakmu bersusun-susun, bahkan kebaikan itu ialah bila ilmu pengetahuanmu bertambah, sifat penyantunmu dikenang orang, dan anda tidak menunjuk-nunjuk kepada orang ramai mengenai ibadatmu kepada Allah, dan bila anda berbuat baik, anda sentiasa bersyukur kepada Allah, tetapi bila anda berbuat jahat, segera anda bertaubat dan meminta ampun kepadaNya."

Aktsam pula berkata: "
Tonggaknya akal ialah sifat penyantun, dan pokok segala perkara ialah sabar." Berkata Mu’awiyah: "Seseorang manusia tidak akan mencapai puncak pemikiran, melainkan sesudah penyantuannya mengalahkan kebodohannya, dan kesabarannya mengatasi keinginan syahwatnya, dan tidak akan tercapai semua itu, melainkan dengan kekuatan dan pengetahuan."

Bertanya Mu’awiyah kepada Amru Ibnul-Ahtam: "Orang yang bagaimanakah yang dikata pemberani?" Amru menjawab: "Sesiapa yang dapat mengalahkan kebodohannya dengan penyantunannya." Kemudian Mu’awiyah bertanya lagi: "Orang yang macam manakah yang dikatakan paling pemurah?" Jawabnya: "Orang yang membelanjakan kekayaan dunianya untuk maslahat akhiratnya."

Mu’awiyah pernah bertanya kepada Irabah: "Dengan cara apakah engkau dapat mengetahui kaummu itu?" Jawabnya: "Saya sering bersikap penyantun terhadap orang yang bodoh di antara mereka dan memberi setiap permintaan mereka dan berusaha untuk menunaikan segala hajat keperluan mereka. Barangsiapa yang melakukan seperti yang saya lakukan, maka ia pun samalah seperti saya, malah barangsiapa dapat melebihi saya, tentulah ia menjadi lebih utama dari saya. Tetapi jika ia melakukan kurang dari saya, maka saya lebih baik daripadanya."

Berkata Anas bin Malik, ketika memberi keterangan terhadap firman Allah Ta’ala: “
Tolaklah kejahatan itu dengan cara sebaik-baiknya, sehingga orang yang bermusuhan antaramu dengannya akan menjadi seorang kawan yang setia, dan kelakuan seumpama itu tiada dikurniakanNya kepada sesiapa pun, melainkan orang-orang yang bersabar, dan tidak diberikanNya melainkan kepada orang-orang yang bersabar, dan tiada diberikanNya melainkan kepada orang yang mempunyai keberuntungan yang besar.” (QS Fushshilat: 34-35) Kata Anas: "Itulah orang yang bila dicaci-maki oleh saudaranya, lalu ia berkata: Andaikata anda telah berdusta dalam caci-makimu itu, maka mudah-mudahan Allah mengampuni anda. Tetapi jika anda benar dalam ucapanmu itu, maka mudah-mudahan Allah mengampuni saya."

Dari Saidina Ali bin al-Hussain radhiallahu-anhuma, pada suatu ketika beliau telah dimaki oleh seorang, maka beliau pun menghadiahkan kepada orang itu sehelai pakaian, dan memberikannya pula sebanyak seribu dirham. Setengah orang yang mendengar cerita itu telah membuat komen, kata mereka: "
Telah terkumpul pada peribadi Saiyidina Ali bin al-Hussain itu lima sifat yang terpuji, iaitu:
a. Penyantun
b. Melenyapkan sakit hati.
c. Melepaskan orang itu dari sesuatu yang boleh menjauhkannya daripada Allah azzawajalla.
d. Menyebabkannya merasa kesal terhadap perbuatannya lalu bertaubat.
e. Mengubah sikapnya yang mencela tadi kepada sikap memuji pula.
Beliau telah membeli kesemua sifat-sifat yang terpuji ini dengan sesuatu yang tidak terpandang dari harta dunia
."


Kadar yang dibolehkan untuk membalas umpatan
Ketahuilah bahawasanya setiap penganiayaan yang ditimbulkan oleh seseorang, tiadalah dibolehkan membalas dengan penganiayaan yang sama. Tidak dibolehkan membalas umpat dengan umpat, intip dengan intip, maki dengan maki, dan seterusnya terhadap semua maksiat dibalas dengan maksiat yang sama pula.

Rasulullah SAW telah melarang orang membalas orang yang mengata-nista kepada mu dengan kata-nista dalam sabdanya: “
Jika seseorang mengata-nistamu dengan menyebut sesuatu keburukan yang ada pada dirimu, maka janganlah anda membalas dengan menyebut keburukan-keburukan yang ada pada dirinya pula.”

Setengah para ulama membolehkan membalas dengan mengatakan sesuatu yang tidak mengandungi perkara dusta. Mereka berkata: "
Larangan yang disabdakan oleh Rasulullah SAW untuk membalas kata-caci orang itu, bukanlah merupakan suatu larangan yang haram atau dosa, hanya yang lebih baik lagi meninggalkannya, tetapi jika ia membalas juga, maka tidaklah terkira berdosa."

Tetapi yang dibolehkan membalas dengan berkata: Siapa engkau ini sampai berkata seperti ini? Ataupun: Wahai orang yang rendah budinya! Ataupun: Wahai manusia bodoh! Kerana setiap orang mestilah ada padanya sifat rendah budi dan sifat bodoh.

Begitu juga, jika dia memanggil dengan berkata: Wahai orang yang buruk akhlaknya! Ataupun: Wahai orang yang mencaci peribadi orang lain! Dan sebenarnya memanglah sifat yang dicacinya itu ada pada orang itu, maka tidaklah ditegah. Ataupun ia berkata: Jika ada sifat malu pada diri anda, tentulah anda tidak berkata seperti itu. Ataupun ia berkata: Alangkah buruknya kelakuanmu pada pandangan mataku!

Para alim ulama membolehkan ucapan-ucapan membalas seumpama itu, berdalilkan sabda Rasulullah SAW: “
Dua orang yang bermaki-makian itu, selagi masing-masing sama kata-mengata, maka dosanya ke atas orang yang memulakan memaki dari keduanya, sehingga orang yang dizalimi (dimaki) itu pula melampaui batas ke atas orang yang memulakan.” Hadis ini menentukan, bahawa bagi orang yang teraniaya itu boleh membuat pembalasan sekadar yang sama dengan apa yang diperlakukan kepadanya, tetapi hendaklah is tidak melampaui batas, jika ia melampaui batas, maka ketika itu dialah yang akan menerima dosanya pula.

Itulah kadarnya yang diperbolehkan oleh para alim ulama dalam menuntut pembalasan, yakni suatu keizinan untuk menentang penganiayaan yang ditujukan kepada dirinya, iaitu kadar yang seimbang tanpa melampaui batas.

Berkata Imam Al-Ghazali selanjutnya: "
Memang sudah jelaslah keizinan membalas itu diperbolehkan dalam kadar yang tersebut di atas, tetapi yang lebih utama meninggalkan saja niat untuk membalas itu, sebab yang demikian akan menariknya kepada suatu akibat yang lebih meruncing sesuatu itu. Bahkan mungkin nanti ia tidak dapat menguasai dirinya lagi untuk menuntut pembalasan dalam kadar hak yang diperbolehkan saja, dan dikhuatiri kelak ia akan melampaui batas. Dengan yang demikian, menahan diri dari membuat pembalasan itu adalah lebih baik dan lebih senang daripada memulakan pembalasan dan berhenti dalam kadar yang diperbolehkan oleh syara’."

Walau bagaimanapun, memanglah ada juga manusia yang tiada berkuasa untuk mengekang hawa nafsu dalam masa marahnya sedang meluap-luap. Tetapi tidak kurang pula ada yang insaf sesudah itu, lalu kembali tenang dan marahnya pun reda.

Dalam sebuah Hadis, Rasulullah SAW telah bersabda: “
Sebaik-baik anak Adam, ialah orang yang lambat marahnya dan segera pula reda bila sudah marah, dan sejahat-jahat anak Adam yang lekas marahnya dan lambat pula reda marah itu.”

Akibat dendam dan faedah belas kasihan
Ketahuilah bahawasanya sifat marah itu bila tidak dikekang dengan segera, nescaya sukarlah ia disembuhkan dengan serta-merta, maka ketika itu ia akan terpendam di dalam kebatinan, dan bersarang di situ, sehingga menjadi sifat dendam pula.

Pengertian dendam itu, ialah bila hati anda merasa sangat berat terhadap, seseorang, seperti membencinya, menjauhi diri darinya dan sifat itu akan kekal bersemadi di dalam hati anda dan sentiasa hidup di situ. Rasulullah SAW telah bersabda: “
Orang Mukmin itu bukanlah seorang yang pendendam.”

Jadi nyatalah, bahawa sifat dendam itu bersumber dari sifat marah, dan ia akan menimbulkan berbagai-bagai perkara mungkar iaitu:

a. Perasaan hasad dan dengki dalam diri, sehingga anda merasakan tidak senang bila melihat seseorang berada di dalam kenikmatan, lalu anda mencita-citakan terhapusnya nikmat itu daripadanya. Tegasnya anda tidak suka seseorang yang hidupnya senang-lenang, sebaliknya anda merasa gembira bila ia ditimpa bahaya atau kesusuhan. Perilaku ini adalah contoh dari perilaku orang-orang munafik.

b. Anda bukan saja menyimpan perasaan hasad dan dengki di dalam diri anda, malah anda merasakan senang sekali, bila orang itu terkena sesuatu musibat atau bala bencana.

c. Anda akan menjauhinya dan memutuskan semua perhubungan dengannya. Tidak mahu bergaul dengannya, meskipun ia cuba berbaik-baik denganmu dan mendapatimu.

d. Kiranya orang itu lebih rendah kedudukannya darimu, maka anda memalingkan dirimu daripadanya, kerana menganggapnya kecil di hadapan matamu.

e. Anda akan mengucapkan kata-kata yang tidak patut terhadap orang itu, tidak kira sama ada dengan berbohong, mengumpat.

(Rujukan: 'Bimbingan Mukmin' oleh Hujjatul Islam, Al-Ghazali)
.

Friday, April 22, 2011

TAUBAT SEBAGAI PINTU KESELAMATAN

Nabi Adam AS, manusia pertama, telah melakukan kesalahan. Ketika itu beliau mendiami syurga. Manusia secara tabi’inya tidak dapat mengelakkan diri daripada melakukan kesalahan, sekalipun mereka tinggal di dalam syurga yang serba menyenangkan, apatah lagi mereka tinggal di dalam dunia yang serba memayahkan. Nabi Adam AS mengakui kesalahannya dan kembali kepada Allah SWT, memohon agar Allah SWT mengajarkannya apa yang perlu dibuatnya bagi menutup kesalahannya dan menggantikannya dengan kebaikan. Allah SWT Yang Maha Pengampun Maha Penyayang mengajarkan kepada Nabi Adam AS beberapa kalimat, iaitu cara bertaubat. Nabi Adam AS bertaubat dengan penuh keinsafan dan keikhlasan. Allah SWT yang mengajarkan Nabi Adam AS bertaubat itu menerima taubatnya dan mengampunkan kesalahannya. Taubat yang dilakukan oleh Nabi Adam AS adalah taubat yang disertai oleh iman dan diikuti oleh amal soleh. Taubat yang demikian menghapuskan kejahatan dan menggantikannya dengan kebaikan.

Iblis, jin yang pertama diciptakan Tuhan, telah melakukan kesalahan. Kesalahan Nabi Adam AS adalah lupa kepada pesanan Tuhan. Kesalahan iblis pula adalah engkar kepada perintah Tuhan. Nabi Adam AS mengakui kesalahan dan bertaubat. Namun iblis laknatullah tidak mahu mengakui kesalahannya dan enggan bertaubat. Nabi Adam AS yang bertaubat menerima nikmat keampunan dari Allah SWT. Iblis yang enggan bertaubat menerima kemurkaan dan laknat dari Allah SWT selama-lamanya. Nabi Adam AS kembali kepada Allah SWT dan keselamatan-Nya, manakala iblis tercampak jauh dari Tuhan dan hilang peluang untuk kembali. Di akhirat kelak, taubat membawa Nabi Adam AS kembali kepada syurga dan iblis pula akan dicampakkan ke tempat kembali yang paling buruk, iaitu neraka jahannam.

Taubat adalah jalan kembali kepada Tuhan. Apabila manusia melakukan dosa dia tercampak jauh dari Tuhan. Jika dia tidak bertaubat, dia tetap tinggal jauh dari Tuhan. Jika kemudiannya dia berbuat kebaikan, maka dia berbuat baik dalam keadaan jauh dari Tuhan. Dia boleh melakukan suruhan syariat, namun tanpa taubat dia menjadi ahli syariat yang jauh dari Tuhan.

Hamba yang melakukan kesalahan amat perlu bertaubat. Taubat merupakan cetusan iman, iman yang menguatkan amal soleh. Tanpa iman, tidak ada amal soleh. Amal tanpa taubat sebenarnya tidak berpangkal kepada iman. Amal yang demikian sangat sedikit nilai solehnya. Soleh itulah yang menentukan darjat kemuliaan sesuatu amal itu di sisi Tuhan. Amal yang tidak disertai oleh taubat tidak banyak memberi pahala. Pahala bukan sahaja berguna di akhirat, malah keberkatan pada rezeki dan kesejahteraan hidup di dunia merupakan terjemahan kepada pahala yang diperolehi daripada amal yang soleh. Di akhirat kelak, terjemahan pahala itu akan lebih jelas lagi. Banyak daripada masalah kehidupan harian tidak mampu diselesaikan lantaran tidak bertaubat daripada dosa-dosa yang lalu.

Bani Adam memiliki tabiat 'keadaman', yakni tidak sunyi daripada melakukan kesalahan. Tidak wajar jika ada orang yang mengatakan dia tidak pernah berbuat kesalahan dan tidak perlu bertaubat. Nabi Muhammad SAW yang suci bersih pun sentiasa bertaubat. Paling tidak memohon keampunan di atas kelemahan sebagai manusia yang tidak berupaya melakukan perintah Allah SWT dengan sempurna.

Ramai manusia terhalang daripada memperolehi apa yang layak diperolehinya sebelum mereka memasuki pintu taubat. Nabi Adam AS yang diciptakan khusus untuk menjadi khalifah di bumi hanya memperolehi mahkota khalifah itu setelah beliau melalui pintu taubat dan menerima keampunan dari Allah SWT. Roh syariat, roh agama, nur iman, nur Ilahi dan yang seumpamanya hanya masuk ke dalam hati yang telah dibasuh dengan air taubat. Bagi orang yang bertaubat dan diampuni-Nya, kesuciannya kembali kepada kesucian roh yang latif, yang suci dan hampir dengan Tuhan. Manusia yang rohnya kembali kepada taraf amr Tuhan akan memperolehi keselamatan di dunia dan di akhirat. Manusia yang memiliki roh yang demikian mampu mengkamilkan batin syariat dengan zahir syariat atau antara iman dengan amal. Bani Adam sewajarnya mengikuti langkah bapa mereka dengan bertaubat agar mereka juga boleh kembali kepada Allah SWT dan layak dipakaikan mahkota khalifah di bumi.

Taubat yang hanya merupakan kata-kata, tanpa mengetahui sejauh mana dosa yang dilakukan, tidak berikrar untuk tidak mengulangi dosa tersebut, tidak mengambil langkah mencegah daripada berulangnya perbuatan dosa dan tidak melakukan kebaikan yang boleh menghapuskan dosa, adalah taubat pada luaran sahaja, tidak terhunjam ke dalam lubuk hati yang dalam. Taubat yang demikian adalah umpama memotong rumput bahagian di atas tanah sahaja sedangkan akar yang di dalam tanah dibiarkan. Rumput akan kembali tumbuh selagi akarnya tidak dicabut. Orang yang benar-benar bertaubat mengetahui kesalahannya dan punca kesalahan tersebut, bertekad tidak akan mengulanginya dan membebaskan dirinya daripada punca kesalahan. Taubat yang begini umpama mencabut rumput beserta akarnya yang di dalam tanah dan membuangnya jauh-jauh.

Taubat luaran adalah penyesalan secara umum dan samar-samar. Taubat dalaman adalah penyesalan yang jelas tentang apa yang dikesalkan dan menjauhkan diri daripadanya. Orang yang bertaubat daripada zina tidak lagi menghampiri zina, bukan sekadar tidak melakukan zina. Jika masih lagi menghampiri zina, sekalipun tidak melakukannya, itu bukanlah taubat yang sebenarnya. Nabi Adam AS yang telah melakukan kesalahan dengan memakan buah larangan di dalam syurga, setelah bertaubat beliau AS tinggal di bumi yang sangat jauh daripada pokok larangan yang menjadi isu kesalahannya. Tanda taubat diterima adalah orang yang berdosa tidak jatuh lagi ke dalam jurang dosa tersebut.

Orang yang benar dengan taubatnya mempelajari keadaan dirinya, mencari punca dan faktor yang menyebabkan dia jatuh kepada perbuatan dosa. Dia mengawasi perjalanan nafsunya, membebaskannya daripada ego yang mengheret kepada kejahatan dan kedurhakaan kepada Tuhan. Jihad membuang nilai-nilai buruk daripada daerah nafsu dan akan memberi kekuatan kepada rohani. Rohani yang sedar dan celik akan dapat melihat kepada kejahatan dan dapat mengeluarkan teguran daripada dalam. Teguran dari dalam itu dinamakan suara hati. Pada peringkat awalnya suara hati hanya sekadar memberi teguran tetapi tidak mampu menghalang berlakunya kesalahan tetapi apabila semakin banyak nilai-nilai buruk dikeluarkan daripada daerah nafsu, suara hati akan menjadi lebih kuat. Hati akan sempat memberi peringatan sebelum terjadinya perbuatan dosa. Kemunculan penasihat dari dalam diri sendiri menambahkan kesedaran seseorang tentang yang benar dan yang salah. Kemudian dibukakan kepadanya hakikat yang benar dan yang salah. Apabila hakikat tersebut telah terbuka kepadanya dia akan lebih mudah melakukan yang benar dan meninggalkan yang salah.

Dalam perjalanan menuju tahap yang suci bersih seseorang perlu menentang nafsu kehaiwanan yang menumpang pada nafsunya yang asli, yang suci bersih. Nafsu kehaiwanan hanya inginkan makan dan minum, pakaian, tidur, melakukan perbuatan yang sia-sia dan berseronok. Dalam daerah nafsu yang rendah itu juga ada sifat yang jahat (mazmumah) seperti takabbur, sombong, dengki, dendam, tamak dan lain-lain penyakit hati. Semua itu mesti dibuang daripada daerah nafsu supaya kemurnian nafsu yang asli kembali menyerlah. Orang yang benar-benar bertaubat mampu berbuat demikian dan dia kembali menjadi suci, bersih dan murni. Hijab yang muncul dari alam zahiriah menjadi hancur dan rohaninya akan bercahaya, memperlihatkan keserian wajah yang menggambarkan kedamaian jiwa.

Syariat mengajarkan jihad menyelamatkan diri daripada dosa. Dosa masuk ke dalam manusia melalui setiap bahagian tubuhnya dan juga melalui dirinya yang tidak kelihatan. Mata, telinga, mulut, hidung, tangan, kaki, kemaluan dan segenap tubuh boleh menjadi pintu buat dosa memasuki manusia. Fikiran dan perasaan juga menjadi pintu dosa.

Dosa adalah umpama besi dan neraka umpama besi berani yang besar lagi kuat, menarik besi dosa kepadanya. Makanan, minuman dan bauan yang harum memasukkan dosa ke dalam tubuh manusia. Dosa bercampur dengan darah, daging, tulang, sumsum dan seluruh tubuh. Tangan yang melakukan kejahatan akan dibaluti oleh dosa seperti balutan lumpur. Tangan yang berbalut dosa menyentuh isteri, anak-anak, makanan, pekerjaan dan lain-lain. Ia mencemarkan apa sahaja yang disentuhnya.

Syahwat yang berzina akan dibaluti dosa dan dengan syahwat yang berbalut kekotoran dosa itu juga lelaki meniduri isterinya. Tangannya yang menyuap makanan dibaluti dosa. Makanannya haram. Darahnya bercampur air dosa. Air mani yang terbentuk dalam tubuhnya juga terpalit dosa. Melalui syahwat yang berdosa dia menghantar air mani yang terpalit dosa ke dalam kandungan isterinya. Dalam kandungan ibu lagi bayi sudah dihadapkan dengan kesan dosa. Anak keluar ke dunia membawa kekuatan dosa, bersedia untuk menghadapi dosa-dosa. Ramai bayi yang dibungkus oleh dosa sejak dalam kandungan ibu mereka keluar membawa penyakit yang ganjil-ganjil. Sudah ada bayi yang keluar sahaja ke dunia sudah pun menghidapi pelbagai penyakit termasuk Aids.

Kecelakaan menimpa manusia yang berdosa kerana syaitan boleh bersekutu dalam apa sahaja yang mereka lakukan. Apa sahaja yang dipegangnya dan apa yang keluar daripadanya beserta dengan syaitan yang sentiasa mencari jalan untuk menjahanamkan Bani Adam. Dosa yang menemani seseorang itu membawa bahang api neraka kepadanya ketika dia masih hidup dalam dunia ini, apa lagi setelah dia memasuki lubang kubur. Bahang api neraka membuatnya menjadi resah gelisah dan kepanasan. Isteri yang cantik tidak menyejukkan pandangannya. Harta yang banyak tidak menemukannya dengan kepuasan. Kemuliaan yang diberikan oleh manusia tidak mendamaikan jiwanya. Beban dosa menghimpit jiwanya, takut orang ramai mengetahui kejahatan yang disembunyikannya.

Fikiran dan perasaan yang dibaluti dosa, walaupun memikirkan sebaik mungkin, merancang dengan penuh kerapian, membuat kajian dengan teliti, namun hasilnya adalah kemusanahan. Morfin yang ditemui oleh pakar-pakar perubatan untuk membantu orang sakit itulah yang menjadi dadah membunuh jutaan manusia. Satelit yang diciptakan untuk kesejahteraan umat manusia itulah yang memandu peluru berpandu dan bom nuklear untuk membunuh umat manusia sendiri. Sentuhan fikiran, perasaan dan anggota yang berdosa lebih mewujudkan neraka dalam dunia daripada memberi kesejahteraan kepada umat manusia. Dosa-dosa yang bertaburan dalam dunia inilah yang mengheret dunia kepada kiamat.

Ulama zaman dahulu suka memperingatkan umat manusia supaya menghindarkan diri daripada melakukan dosa demi kesejahteraan manusia sendiri. Ramai daripada ulama hari ini segan mahu bercakap tentang dosa, takut dianggap kolot. Orang ramai hari ini tidak tahu tentang dosa tetapi sangat mengerti tentang kemudaratan pada tubuh badan. Perkara dosa mesti dihurai secara saintifik terlebih dahulu untuk mengetahui kemudaratannya. Apakah kemudaratan meminum arak? Apakah kemudaratan memakan daging babi? Apakah kemudaratan tidak bersembahyang? Apakah kemudaratan tidak berpuasa? Semuanya mesti dimasukkan ke dalam ‘tabung uji’ terlebih dahulu sebelum disahkan sebagai dosa. Manusia mengambil alih tugas menentukan sesuatu perkara itu berdosa atau tidak.

Kaum Muslimin memainkan peranan yang penting di dalam dunia. Mereka berfungsi sebagai pengimbang kepada ketidakstabilan yang terjadi kepada dunia. Kaum Muslimin berperanan menyekat mala petaka yang mengancam dunia akibat dosa-dosa manusia. Kaum Muslimin mempunyai keupayaan yang tinggi kerana mereka berpegang kepada syariat yang benar yang mengajar mereka ibadat taubat dan memperkenalkan mereka kepada Tuhan Yang Maha Pengampun, Maha Penyayang. Air taubat yang mengalir daripada kaum Muslimin menyejukkan api neraka dunia yang keluar daripada dosa-dosa manusia. Taubat merupakan kurniaan Allah SWT yang besar kepada orang-orang yang beriman demi faedah mereka sendiri dan umat manusia seluruhnya. Ibadat taubat mesti disebarkan seluas-luasnya demi kesejahteraan hidup di dunia dan juga di akhirat. Kaum Muslimin seharusnya memandang serius kepada ibadat taubat sebagaimana kesungguhan mereka dalam ibadat sembahyang dan lain-lain. Mereka mestilah benar di dalam taubat sebagaimana benarnya hati mereka menghadap Allah SWT di dalam sembahyang.

Taubat, sebagaimana juga ibadat yang lain, ada aspek zahir dan ada aspek batin. Aspek zahir melibatkan cara dan peraturan yang bersangkutan dengan perbuatan zahir. Aspek batin melibatkan urusan hati. Setiap amalan zahir digantungkan kepada niat yang berada dalam batin. Amalan zahir dinamakan syariat zahir dan amalan batin dinamakan syariat batin. Ilmu yang membicarakan tentang syariat zahir dinamakan ilmu feqah. Ilmu yang membicarakan tentang syariat batin dinamakan ilmu tasauf. Istilah feqah dan tasauf digunakan pada zaman yang di belakang ini. Pada zaman Rasulullah SAW, semua ilmu dikenali sebagai ilmu agama atau ilmu al-Quran atau ilmu Islam. Kesempurnaan ilmu syariat adalah gabungan ilmu feqah dan tasauf. Ilmu feqah mengajar manusia cara beramal yang betul. Ilmu tasauf mengajar manusia menghadap Tuhan dengan benar dalam melakukan suruhan-Nya. Bagi mereka yang cenderung dengan aliran tarekat tasauf janganlah menganggap tasauf sebagai persaingan kepada feqah atau kepada syariat itu sendiri. Fahaman yang membezakan tasauf daripada syariat, yang mengatakan feqah itulah syariat dan tasauf adalah bidang yang tersendiri, mestilah dihapuskan. Tasauf berperanan memudahkan seseorang melakukan peraturan syariat sebagaimana yang dikehendaki oleh fikah. Feqah pula membentuk jalan yang lurus agar seseorang boleh menghadap kepada Tuhan dan menghampiri-Nya sebagaimana yang diajarkan oleh tasauf. Gabungan feqah dan tasauf membentuk syariat yang sempurna. Berfeqah tanpa tasauf dibolehkan bagi mendapatkan kedudukan sebagai seorang Islam, tetapi bertasauf tanpa feqah tidak mungkin. Tidak mungkin mengerjakan sembahyang dengan niat yang betul tetapi tidak ada perbuatan sembahyang.

Taubat yang benar menggabungkan cara feqah dengan cara tasauf. Orang yang bertaubat melakukan sembahyang sunat taubat dan memperbanyakkan ucapan istighfar. Kesalahan yang berhubung dengan orang lain diselesaikan secara meminta maaf atau membayar hutang jika ada. Dia tidak mengulangi kesalahan selepas dia bertaubat. Dia tidak mendekati ruang yang boleh membawanya kepada kesalahan semula. Bagi kesalahan kepada orang lain, dia perlu mendoakan kesejahteraan untuk orang itu.

Taubat yang lebih mendalam perlu kepada bimbingan orang arif yang telah melakukan taubat secara khusus. Orang arif melakukan taubat dengan penuh rasa takut kepada Tuhan. Dilihatnya dosa seumpama gunung yang akan jatuh ke atas kepalanya. Dia berasa takut dan lari kepada Allah SWT memohonkan keampunan-Nya. Dia takut dicampakkan jauh daripada Tuhan. Dia takut ‘kehilangan’ Tuhan yang sangat dikasihinya. Dia takut kehilangan perhatian-Nya, cinta-Nya dan keampunan-Nya. Dia takut dan malu kerana Tuhan Melihat dan Mendengar segala perbuatan dan tutur kata lidah serta hatinya. Dia takutkan azab Allah SWT yang sangat keras. Ucapan yang keluar dari mulut orang yang takutkan Allah SWT memberi kesan yang mendalam kepada jiwa orang yang mahu bertaubat. Keadaan takutkan Allah SWT itu turut menguasai jiwa orang berkenaan yang mahu bertaubat itu. Perkataan yang keluar daripada hati yang bersih dan dibaluti oleh cahaya suci menyinar pada cermin hati orang yang mendengar. Hati yang menerima pancaran cahaya suci daripada orang suci akan menjadi jaga dan hidup. Hati yang hidup itu melakukan taubat dengan sebenar-benarnya.

Orang arif yang mampu membimbing orang lain memasuki pintu taubat adalah orang yang telah sampai kepada makam kehampiran dengan Allah SWT. Kemudian mereka dihantar balik kepada alam rendah bagi membimbing orang lain yang berpotensi tetapi masih ada kecacatan dan kelemahan. Dalam melaksanakan tugas tersebut orang arif berjalan menurut sunnah Rasulullah SAW. Tugas pembimbing kerohanian berbeza daripada tugas seorang Rasul. Rasul ditugaskan menyampaikan kepada semua orang. Pembimbing kerohanian tidak mengajarkan semua orang. Mereka hanya mengambil orang-orang tertentu sahaja, yang dipilih untuk mengikuti latihan intensif bagi menambahkan bilangan orang arif yang akan berkhidmat kepada orang ramai. Rasul diberi kebebasan dalam melakukan tugas berdakwah tetapi pembimbing jalan kerohanian mesti mengikuti jalan rasul, tidak boleh membuat jalan sendiri. Guru kerohanian yang mengaku dirinya bebas daripada sunnah Rasulullah SAW, mendakwa dirinya sama dengan nabi, sebenarnya telah jatuh ke dalam kesesatan dan kekufuran. Guru kerohanian yang benar berpegang teguh kepada prinsip agama yang dibawa oleh Rasulullah SAW, tidak membawa peraturan baharu. Cara penyampaian mereka boleh jadi berbeza dengan cara Rasulullah SAW kerana kebijaksanaan manusia tidak sama, tetapi perbezaan cara tidak sampai mengubah hukum dan peraturan. Orang arif yang benar mempunyai ‘kehampiran’ dengan Rasulullah SAW melebihi kehampirannya dengan isteri, anak dan kaum keluarga mereka. Kehampirannya adalah kehampiran kerohanian yang lebih erat daripada hubungan darah daging.

Dalam masyarakat Islam sudah ramai orang alim yang memperkatakan tentang zahir syariat iaitu ilmu feqah. Sebab itu orang arif lebih menumpukan soal batin iaitu ilmu tasauf yang menumpukan soal hati. Bidang feqah lebih bersifat umum. Satu fatwa yang dikeluarkan oleh seorang alim feqah sesuai untuk orang ramai dan kebanyakan keadaan. Bidang kerohanian bersifat persendirian. Bagi satu orang hanya ada satu sahaja jalan kerohanian yang sesuai untuknya. Oleh sebab itu guru kerohanian perlu ada kasyaf yang membolehkannya mengerti kedudukan muridnya. Kearifan guru lebih diperlukan bagi memandu murid yang didatangi oleh jazbah atau mendapat gangguan khadam. Hanya guru yang arif mengerti jalan khusus yang sedang dilalui oleh muridnya dan dia mampu membimbing muridnya menuju matlamat dengan selamat.

Thursday, April 21, 2011

FADHILAT MEMBACA AYAT KURSI

Berikut adalah antara beberapa fadhilat-fadhilat ayat Kursi berdasarkan hadis-hadis Rasulullah SAW:
.
"Sesiapa pulang ke rumahnya serta membaca ayat Kursi, Allah hilangkan segala kefakiran di depan matanya".
.
"Umatku yang membaca ayat Kursi 12 kali pada pagi Jumaat, kemudian berwuduk dan sembahyang sunat dua rakaat, Allah memeliharanya daripada kejahatan syaitan dan kejahatan pembesar."
.
"Orang yang selalu membaca ayat Kursi dicintai dan dipelihara Allah sebagaimana DIA memelihara Nabi Muhammad."
.
"Mereka yang beramal dengan bacaan ayat Kursi akan mendapat pertolongan serta perlindungan Allah daripada gangguan serta hasutan syaitan."
.
"Pengamal ayat Kursi juga, dengan izin Allah, akan terhindar daripada pencerobohan pencuri. Ayat Kursi menjadi benteng yang kuat menyekat pencuri daripada memasuki rumah."
.
"Mengamalkan bacaan ayat Kursi juga akan memberikan keselamatan ketika dalam perjalanannya."
.
"Ayat Kursi yang dibaca dengan penuh khusyuk, insyaAllah, boleh menyebabkan syaitan dan jin terbakar."
.
"Jika anda berpindah ke rumah baru, maka pada malam pertama anda menduduki rumah itu eloklah anda membaca ayat Kursi 100 kali, insyaAllah mudah-mudahan anda sekeluarga terhindar daripada gangguan lahir dan batin."
.
"Barang siapa membaca ayat Kursi apabila berbaring di tempat tidurnya, Allah mewakilkan 2 orang Malaikat memeliharanya hingga subuh."
.
"Barang siapa membaca ayat Kursi di akhir setiap sembahyang Fardhu, ia akan berada dalam lindungan Allah hingga sembahyang yang lain."
.
"Barangsiapa membaca ayat Kursi di akhir tiap sembahyang, tidak menegah akan dia daripada masuk syurga kecuali maut, dan barangsiapa membacanya ketika hendak tidur, Allah memelihara akan dia ke atas rumahnya, rumah jirannya & ahli rumah2 di sekitarnya."
.
"Barang siapa membaca ayat Kursi di akhir tiap-tiap sembahyang Fardhu, Allah menganugerahkan dia hati-hati orang yang bersyukur, perbuatan-perbuatan orang yang benar, pahala nabi-nabi juga Allah melimpahkan padanya rahmat."
.
"Barang siapa membaca ayat Kursi sebelum keluar rumahnya, maka Allah mengutuskan 70,000 Malaikat kepadanya, mereka semua memohon keampunan dan mendoakan baginya."
.
"Barang siapa membaca ayat Kursi di akhir sembahyang, Allah azza wa jalla akan mengendalikan pengambilan rohnya dan ia adalah seperti orang yang berperang bersama nabi Allah sehingga mati syahid."
.
"Barang siapa yang membaca ayat Kursi ketika dalam kesempitan nescaya Allah berkenan memberi pertolongan kepadanya."