puah dok sajo

Friday, May 6, 2011

Imam As-Syafiey (150h-204h)


Mazhab Syafiey..

Imam Syafiey rahimahullahu taala (150h-204h)
Beliau ialah Abu Abdullah Muhammad Bin Idris Bin Al-Abbas Bin Utsman Bin Syaafi’ Al-Qursyi Al-Muthalibi,keturunan beliau bersambung ke keturunan baginda nabi Muhammad sallallahu alaihi wassalam dari Abdul Manaf.
Beliau lebih dikenali dengan As-Syafiey iaitu yang dinisbahkan kepada datuk beliau iaitu Syaafi’ Bin As-Saieb Bin Abdin Yazid Bin Hisyam Bin Abdul Muthalib Bin Abdul Manaf Bin Qusai,dan beliau juga dipanggil sebagai Al-Qursyi iaitu dinisbahkan kepada qabilah bangsa Quraisy,begitu juga dengan Al-Muthalibi yang mana dinisbahkan kepada Abdul Muthalib Bin Manaf.
Beliau dilahirkan di Gaza pada tahun 150 hijrah,bapa beliau telah berhiijrah ke sana kerana sesuatu hajat lalu meninggal dunia di sana,selepas kematian bapa beliau,maka lahirlah beliau di sana,dan selepas dua tahun dari kelahiran beliau itu,ibunya telah membawa beliau ke Mekah iaitu tanah tumpah darah ayah beliau dan datuk nenek beliau,beliau telah tinggal di sana dan hidup sebagai anak yatim di bawah jagaan ibunya yang tercinta.
Syeikh-syeikh dan kembara ilmu beliau..
Di Mekah,beliau telah menghafaz Al-Quran sebelum beliau berumur 7 tahun atau 9 tahun lagi,kemudian beliau telah berguru ilmu sastera bahasa arab dengan qabilah Huzail di perkampungan mereka,qabilah tersebut merupakan qabilah yang paling fasih berbahasa arab dikalangan qabilah-qabilah bangsa arab yang lain,di sana,beliau telah banyak menghafaz syair-syair arab,memperbaiki dan memperelokkan bahasa arab serta sesteranya serta telah belajar melontar tombak sehingga mahir,kemudian beliau kembali semula ke Mekah dan telah dicampakkan cahaya hidayah oleh Allah kepada beliau supaya menyusuri jalan menuntut ilmu feqh .
Beliau telah mempelajari ilmu hadith-hadith nabi dan ilmu feqh islami yang bersumberkan dari Al-Quran dan As-Sunnah dengan As-Syeikh Muslim Bin Khalid Az-Zanji iaitu mufti Kota Mekah pada waktu itu,beliau juga telah berguru dengan Sufyaan Bin Uyaynah iaitu seorang mujtahid dan penghafaz hadith-hadith nabi yang mulia.
Beliau telah dianugerahkan oleh Allah aqal yang sempurna,daya ingatan yang kuat dan kecepatan menangkap sesuatu maklumat, yang mana anugerah tersebut telah membantu beliau menghafaz kitab Imam Malik iaitu kitab Al-Muwatho’, dan ketika beliau berumur 20 tahun beliau telah pergi berjumpa dengan Imam Malik di Madinah dan telah berguru denganya,beliau juga telah berguru kitab tersebut di hadapan Imam Malik dan telah mendengar kitab tersebut dari guru beliau itu serta telah mempelajari ilmu feqh denganya,dan beliau juga telah melazimi Imam Malik sehinggalah Imam Malik wafat pada tahun 179 hijrah.
Selepas itu beliau mengembara pula ke negara Yaman,di sana,beliau telah dapat menjawat suatu jawatan yang baik yang mana ianya telah menjadikan hidupnya senang lenang,tetapi malangnya,beliau telah ditangkap selepas itu atas tuduhan mengembangkan dakyah Syiah Zaidiyah memandangkan keadaan di Yaman ketika itu dipenuhi dengan dakyah Syiah,dan sesungguhnya penangkapan keatas beliau itu merupakan suatu unsur politik,beliau telah dibawa menghadap Khalifah Harun Ar-Rasyid pemerintah Dinasti Abbasiyy ketika itu pada tahun 184 hijrah,tetapi disebabkan kepintaran Imam Syafie mematahkan hujah manusia,beliau telah berjaya menjawab kembali tohmahan dan tuduhan tersebut sebagai membersihkan kembali imej dirinya,dan Muhammad Bin Hasan As-Syibaniy iaitu anak murid Imam Abu Hanifah telah memberikan suatu jaminan kepada Khalifah bahawa Imam As-Syafiey tidak bersalah,apabila Khalifah mendapati bahawa Imam As-Syafiey tidak bersalah,beliau telah dibebaskan dan telah diberikan gantirugi yang setimpal kepada beliau dari pihak Khalifah.
Selepas itu beliau pergi ke Baghdad dan menetap di sana pula,beliau telah mengambil ilmu Imam Abu Hanifah dari jalan Muhammad Bin Hasan As-Syibaniy,yang mana beliau telah meriwayatkan beberapa kitab dari Muhammad As-Syibaniy ,berbincang denganya pada banyak masalah-masalah feqh dan juga Imam As-Syafiey telah menyatakan banyak hadith-hadith nabi yang diketahuinya,beliau juga telah mengajak para ulamak ahli ra’yi supaya menyusuri jalan sunnah dan meninggalkan pendapat-pendapat mereka yang bercanggah dengan hadith-hadith nabi yang mulia,dan beliau telah mempertahankan hadith ahad dengan penuh semangat sehingga beliau telah diberikan gelaran “penolong sunnah”,dan segala perlakuan Imam Syafie’ tersebut telah menyebabkan Muhammad Bin Hasan As-Syibaniy menarik kembali beberapa pendapatnya dan memberikan pendapat-pendapat yang bercanggah dengan pendapat imamnya (Imam Abu Hanifah) dan bersamaan dengan pendapat Imam Syafie’ ,dan inilah contoh para ulamak yang beramal dengan kandungan Al-Quran dan As-Sunnah,walaupun Imam Abu Hanifah masih lagi hidup,beliau tetap juga meneliti dan mengkaji segala pendapat-pendapat hasil kajian anak muridnya iaitu Muhammad Bin Hasan terhadap pendapat yang didapatinya daripada orang lain,beliau juga akan menarik kembali segala pendapat sekiranya sesuatu masalah itu terdapatnya hadith sahih padanya.
Imam Syafiey pun menetaplah di Baghdad selama beberapa lamanya pula,dan di situ beliau telah mencipta Mazhab Lama di dalam Ilmu Feqh,kemudian beliau pun kembalilah ke Mekah semula dan balik semula ke Baghdad ke sekian kalinya pada tahun 198 hijrah,beliau duduk di sana dalam sebulan lamanya selepas itu beliau pun mengembaralah pula ke Mesir.
Di Mesir,beliau telah mencipta Mazhab Baru pula di dalam Ilmu Feqh,dan telah mengarang beberapa buah kitab yang telah diriwayatkan oleh anak-anak muridnya daripadanya,di sana beliau telah banyak menyebarkan ilmunya,dan beliau juga telah mengeluarkan fatwa kepada penduduk Mesir terhadap segala permasalahan agama dan kehidupan dunia mereka,sehinggalah beliau pergi menemui Allah di Mesir pada tahun 204 hijrah dan telah dikebumikan di sana,dan maqam beliau itu sangat terkenal di negara tersebut serta telah diziarahi oleh sekelian manusia sebagai penghormatan terhadap imam yang mulia ini,apa yang istimewanya beliau daripada imam-imam yang lain ialah beliau merupakan satu-satunya imam yang telah menulis kitab-kitabnya sendiri dan telah membacakanya kepada anak-anak muridnya dan menyuruh mereka menulisnya pula,dan beliau telah menyebarkan mazhabnya ini ke seluruh negara-negara islam seperti Mekah,Iraq dan juga Mesir,yang mana ianya disebabkan oleh pengembaraan ilmiahnya ke negara-negara tersebut.
Usul-usul mazhab beliau.
Imam Syafiey telah membina usul-usul mazhabnya dengan usul yang telah beliau kumpulkan sendiri di dalam kitabnya iaitu “Ar-Risalah”, jikalau kita perhatikan betul-betul serta mendalaminya pula terhadap manhaj ilmu yang disusuri beliau,kita akan dapati bahawa beliau telah menggabungkan sekali kedua-dua manhaj Madrasah Ahlur Ra’yi dan Madrasah Ahlul Hadith,oleh itu mazhabnya merupakan mazhab pertengahan antara Mazhab Hanafi dan Mazhab Maliki,yang mana beliau telah menggabungkan antara beramal dengan nas dan beramal dengan pendapat ijtihad aqal hasil daripada pengajianya yang luas dalam bidang feqh ini,beliau telah berguru Ilmu Feqh dengan Imam Malik rahimahullahu taala dan telah belajar Mazhab Hanafi dari jalan anak murid Imam Abu Hanifah iaitu Muhammad Bin Hasan As-Syibaniy,hasil daripada pengajian-pengajian tersebut telah memberikan kesan terhadap manhaj ilmunya di dalam membina usul mazhabnya ini :
Imam Syafiey menggunakan Al-Quran,As-Sunnah,Ijmak serta Al-Qiyas di dalam mazhabnya,walaupun usul-usul beliau ini hampir sama sahaja dengan usul para imam yang lain,tetapi beliau mempunyai cara beliau yang tersendiri dalam memperdalilkan usul-usul tersebut begitu juga beliau telah menolak beberapa usul yang lazimnya menjadi usul imam-imam yang lain seperti Istihsan,Amalu Ahli Madinah dan juga pendapat para sahabat.
(1) Al-Quran Al-Karim : beliau mengambilnya dengan memandangnya secara zahir,yang mana beliau tidak akan berganjak dari perlakuan tersebut melainkan jika adanya dalil yang menunjukkan maksud nas tersebut tidak boleh dipandang secara zahir,dan begitulah juga yang beliau lakukan terhadap Sunnah Nabawiyyah.
(2) As-Sunnah : suatu usul yang sememangnya dipersetujui oleh kesemua fuqaha’,tetapi tidaklah beliau meletakkan syarat untuk beramal denganya sepertimana syarat yang diletakkan oleh Imam Abu Hanifah di dalam beramal denganya iaitu semestinya hadith yang masyhur,begitu juga tidak seperti Imam Malik yang mensyaratkan kemestian hadith ahad tidak bercanggah dengan Amalu Ahli Madinah,tetapi apa yang disyaratkan beliau dalam penerimaan hadith ialah hadith yang sahih dan sanadnya yang bersambung..
Berdasarkan syarat tersebut,maka beliau beramal dengan hadith mutawatir,dan beramal juga dengan hadith ahad tetapi jika ianya sahih dan sanadnya bersambung,tetapi tidak pula beliau beramal dengan hadith mursal,melainkan jika ianya disokong oleh dalil yang lain pula,contoh : datangnya hadith tersebut dari jalan yang lain dan bersambung pula sanadnya lalu menyokong hadith mursal tersebut,ataupun perawi hadith mursal tersebut merupaka seorang perawi yang tsiqah seperti Said Bin Musayyab,dan Imam Syafiey merupakan yang pertama menolak hadith mursal dan tidak sekali-kali akan beramal denganya,yang mana perlakuan tersebut bercanggah dengan Abu Hanifah,Imam Malik dan Ats-Tsauri yang beramal dengan hadith mursal.
Imam Syafiey pula bersikap lebih terbuka dengan beramal pada hadith ahad,dan telah mempertahankanya dengan bersungguh-sungguh,dan beliau telah mengkritik para imam mazhab hanafi yang telah meninggalkan penggunaan hadith ahad dan telah mendahulukan Al-Qiyas terhadap hadith ahad,dan disebakan dakyah Imam Syafiey yang menyatakan kewajipan beramal denganya dan mendahulukanya daripada Al-Qiyas itu, beliau telah diberi julukkan sebagai “Penolong Sunnah”.
(3) Al-Ijmak : beliau beramal dengan Ijmak Am dan bukanya dengan ijmak para fuqaha’ dari negeri tertentu,walau tinggi mana pun kedudukkan para fuqaha’ tersebut di sesebuah negeri,kebiasaanya beliau akan berkata begini apabila ingin menyatakan tentang ijmak :
“ Aku tidak mengetahui bahawa pada perkara tersebut mengandungi percanggahan”
(4) Al-Qiyas : beliau beramal dengan Al-Qiyas dan beliau menganggapnya sebagai salah satu usul daripada usul-usul syariah,dan beliau mengambilnya dengan jalan sederhana,iaitu tidaklah terlalu tegas seperti Imam Malik dan tidaklah terlalu luas seperti Imam Abu Hanifah,tetapi beliau ada meletakkan syarat di dalam penggunaanya,iaitu hendaklah ianya mempunyai asal daripada Al-Quran dan As-Sunnah,yang mana ‘illahnya bersifat mundhobith (1) dan hendaklah ianya tidak masuk ke dalam masalah hadith sahih walaupun hadith tersebut merupakan khabar ahad.(2)
Beliau juga beramal dengan Al-Istishab dan Al-‘Urf,dan beliau menganggap keduanya sebagai dalil yang menyuburkan lagi cabangan mazhab.
Tetapi Imam Syafiey mengingkari penggunaan kata-kata sahabat yang mana ianya bercanggah dengan perlakuan Imam Malik dan imam-imam yang lain,kerana kata-kata para sahabat kemungkinan besar ianya merupakan hasil ijtihad mereka sahaja,dan ijtihad seperti yang kita maklumi ianya mengandungi ketepatan dan kesalahan,dan ketikamana terdapatnya potensi unsur kesalahan di dalam berhukum itu boleh berlaku,maka menolaknya sebagai sumber hukum di dalam hukum syarak adalah perlu.
Begitu juga beliau mengingkari di dalam beramal dengan Istihsan,yang mana para imam di dalam mazhab hanafi menggunakanya secara meluas,bahkan Imam Syafiey telah mengkritik kepada sesiapa yang beramal denganya,yang mana kata-katanya yang masyhur di dalam menolak Istihsan : “Barangsiapa yang beramal dengan Istihsan maka sesungguhnya dia telah mencipta hukum syarak” begitu juga beliau telah mengarang sebuah kitab khas yang menyatakan tentang ketidaksetujuan beliau di dalam beramal dengan Istihsan iaitu : “Ibtholul Istihsan”
Beliau juga mengingkari pada beramal dengan Amalu Ahli Madinah yang mana ianya merupaka sumber hukum terbesar di dalam mazhab maliki.Dan beliau juga mengingkari pada beramal dengan Masalihul Mursalah,iaitu usul yang juga merupakan salah satu usul Imam Malik,bahkan Imam Syafiey telah mengkritik gurunya itu dengan kritikkan yang tajam disebabkan Imam Malik menggunakan usul ini sebagai sumber hukum.
Kitab-kitab karangan Imam Syafiey
Antara kitab-kitab hasil karangan beliau yang menunjukkan keazaman beliau yang tinggi,pengetahuanya yang mendalam,dan amanah ilmiahnya yang sangat jujur di dalam bidang feqh ialah kitab “Al-Um” ,suatu kitab yang telah pun di cetak yang terkandung di dalamnya segala pendapat-pendapat beliau di dalam masalah-masalah feqh,dan perbincangan yang berlaku antara beliau dan para fuqaha’ yang lain,dan kajian-kajian beliau yang sangat berharga di dalam mempertahankan As- Sunnah,dan kritikkan beliau terhadap Imam Abu Hanifah yang beramal dengan Istihsan dan bermacam-macam lagi kajian-kajian beliau di dalam ilmu feqh yang menjadikan kitab ini suatu kitab yang sangat berharga dan menakjubkan.
Dan kitab beliau yang lain seperti “Ar-Risalah” iaitu kitab di dalam bidang usul feqh,yang mana dikatakan bahawa kitab usul feqh pertama yang dibukukan,Imam Syafiey mengarang kitab tersebut adalah bertujuan untuk menerangkan jalan yang betul di dalam mengeluarkan hukum-hakam feqh,dan juga menerangkan di dalamnya tentang usul-usul yang diasaskanya di dalam mazhab beliau sebagai pedoman kepada anak-anak murid beliau untuk mengeluarkan hukum feqh,dan juga sebagai panduan kepada para fuqaha’ yang lain supaya menyusuri Manhaj Ilmi yang sangat terperinci ini.
Begitu juga dengan kitab “ Ikhtilaful Hadith” serta kitab “Musnad Al-Imam”yang telah dicetak secara nota kaki pada kitab “Al-Um”

Anak-anak murid Imam Syafiey
Sesungguhnya Imam Syafiey mempunyai anak-anak murid yang sangat ramai di berbagai ceruk negara-negara yang telah dilawati beliau,antaranya ialah seperti : Al-Imam Ahmad Bin Hanbal yang mengasaskan Mazhab Hanbali,Daud Az-Zahiri iaitu pengasas kepada Mazhab Az-Zahiri,Abu Tsur yang mengasaskan Mazhab Ats-Tsauri dan begitu juga dengan Muhammad Bin Jarir At-Thobari seorang mujtahid di dalam Ashabus Syafieyyah.
Dan di antara para perawi mazhab beliau semasa beliau mengasaskan Mazhab Lama di Iraq ialah seperti : Az-Za’faraniy dan Al-Karabiisi,manakala para perawi yang meriwayatkan daripada beliau di dalam Mazhab Baru beliau di Mesir adalah seperti : Al-Buwaithi,Al-Muzni,dan juga Ar-Rabi’ Al-Muradi,berikut adalah ringkasan hidup tentang mereka :
(1) Al-Buwaithi : Beliau ialah Abu Ya’qub Yusuf Bin Yahya Al-Buwaithi yang dinisbahkan kepada Buwaith iaitu suatu kampung yang berada di Mesir di daerah Bani Suwaif.
Beliau merupakan anak murid Imam Syafiey yang paling tinggi sekali kedudukkanya di dalam mazhab,kerana beliau telah mengambil ilmu dari Imam Syafiey serta meriwayatkan segala pendapat-pendapat gurunya itu dan menyebarkanya kepada orang ramai,dan begitu juga kadangkala Imam Syafiey merujuk kepada beliau di dalam berfatwa dan bertanya kepadanya beberapa masalah yang ditanyakan oleh masyarakat,ianya selepas Imam Syafiey mempercayai keilmuanya,amanahnya dan keutamaanya di dalam ilmu ini,Buwaithi juga pernah berselisih pendapat dengan ustaznya ini di dalam pelajaran-pelajaranya,dan suatu hari semasa gurunya ini ditimpa sakit yang menyebabkan kematianya,beliau telah ditanya tentang siapakah yang bakal menggantikan majlis ilmunya?? lalu beliau berkata : “Tiadalah sesiapa pun yang lebih berhak menggantikan majlis ilmuku melainkan Abu Ya’qub,dan tiadalah seorang pun dari kalangan anak muridku yang lebih alim daripadanya” kata-kata ini merupakan suatu persaksian tentang ilmu anak muridnya daripada seorang guru,dan beliau telah diijazahkan untuk mengetuai mazhab ini selepas kematian imam mereka yang mulia iaitu Imam Syafiey.
Beliau telah menyebarkan mazhab imamnya ini bahkan telah mengarang kitab-kitab ringkasan yang menyatakan pendapat-pendapat yang terkuat daripada kata-kata gurunya Imam Syafiey.
Buwaithi telah dihantar ke Baghdad dalam keadaan diikat dan digari dengan rantai besi selepas diadukan kepada Khalifah Abbasiyy tentang fitnah yang tersebar ketika itu iaitu mengatakan Al-Quran itu merupakan makhluq,beliau telah dipaksakan supaya mengatakan sedemikian seperti yang dikatakan oleh para pemerintah Abbasiyy ketika itu tetapi beliau enggan melakukan sedemikian,beliau telah berkata : Al-Quran ialah kalam Allah dan bukanya makhluq,lalu disebabkan perkataan beliau itu beliau telah ditahan di dalam penjara sehinggalah beliau meninggal dunia di dalam penjara pada tahun 231 hijrah.
(2) Al-Muzni : Beliau ialah Abu Ibrahim Ismail Bin Yahya Al-Muzni Al-Misri,dilahirkan pada tahun 175 hijrah,beliau membesar di dalam keadaan menuntut ilmu,ketikamana Imam Syafiey sampai ke Mesir pada tahun 199 hijrah,beliau telah berguru denganya dan Imam Syafiey juga telah bersaksi tentang keilmuanya dengan berkata : “Al-Muzni merupakan penolong kepada mazhabku ini” dan begitu juga Abu Ishak As-Syirazi telah bersaksi tentang beliau dengan berkata : “Beliau merupakan orang yang zuhud,alim,mujtahid,pendebat dan juga merupakan orang yang mencari makna-makna yang terperinci dan sukar difahami”
Beliau merupakan imam yang mempunyai ramai anak murid,dan beliau juga merupakan imam yang paling banyak melakukan usaha pengumpulan di dalam Mazhab Syafiey dan mempunyai banyak kitab-kitab hasil karangan beliau sendiri seperti kitab ringkasan (Al-Mukhtasar) yang telah dicetak di nota kaki kitab Al-Um,dan beliau juga mengarang kitab “Al-Jami’ Al-Kabir” dan “Al-Jami’ As-Saghir” beliau juga telah bercanggah pendapat dengan gurunya di dalam beberapa masalah feqh,beliau telah meniggal dunia pada tahun 264 hijrah.
(3) Ar-Rabi’ Al-Muradiy : Beliau ialah Ar-Rabi’ Bin Sulaiman Bin Abdul Jabbar Al-Muradi,dilahirkan pada tahun 173 hijrah,beliau dahulunya merupakan seorang muazzin di Masjid Jamek ‘Amru Bin Al-‘As di Fustat Mesir,dan ketikamana Imam Syafiey sampai ke Mesir,beliau telah berkhidmat dengan Imam Syafiey,dan dari kesempatan tersebut,beliau telah mengambil ilmu dan berguru dengan Imam Syafiey,dan beliau juga telah menghafaz kata-kata Imam Syafiey dan juga merupakan antara periwayat pendapat-pendapat Imam Syafiey yang terpercaya,dan daripada jalan periwayatan beliaulah periwayatan kitab Ar-Risalah sampai kepada kita,begitu juga dengan kitab Al-Um dan juga kitab-kitab Imam Syafiey yang lain,beliau telah meninggal dunia pada tahun 270 hijrah.
Sekelian imam-imam ini adalah anak-anak murid Imam Syafiey yang paling utama sekali di dalam Mazhab Safiey,kerana mereka telah menabur jasa dan bakti mereka kepada agama Islam dengan meriwayatkan segala pendapat-pendapat guru mereka yang mulia ini,dan betapa ramainya orang yang telah berguru dengan ketiga-tiga imam ini,selepas itu mereka pun telah berusaha bersungguh-sungguh menyebarkan mazhab ini ke segenap ceruk negara-negara islam,bahkan mereka juga telah menambahbaikkan lagi mazhab ini dengan mengeluarkan pendapat-pendapat mereka serta mengarang kitab-kitab di dalam mazhab,maka jadilah mazhab ini diperkaya dengan hasil-hasil warisan kitab yang pelbagai dan amat berharga sekali.
Mazhab ini telahpun tersebar ke berbagai negara islam antaranya di Mesir,Palestin,Jordan,dan begitu juga di Syria,Lubnan,Iraq,Teluk Rantau Arab,Arab Saudi,India,Pakistan dan mazhab ini merupakan mazhab ahlus sunnah di Yaman dan juga Iran,dan merupakan mazhab majoriti di Malaysia dan Indonesia dan begitulah juga di Australia.
****************************************************************************************************************************************************
PENERANGAN :
(1) ‘Illah yang mundhobith : Sebelum diterangkan makna ‘illah yang mundhobith,adalah lebih baik diterangkan dahulu apakah maknanya Al-Qiyas itu dan apakah pula rukun-rukunya dan apakah pula yang dimaksudkan dengan ‘illah?? :
Bolehlah dimaknakan Al-Qiyas itu secara isthilahnya sebagai : Suatu proses mencari dan mengkaji hukum sesuatu perkara yang tidak dinyatakan langsung hukumnya dari syarak dengan bantuan dan jalan tengah daripada suatu perkara yang telah pun dinyatakan hukumya pada syarak,disebabkan kedua-dua perkara tersebut berkongsi suatu ‘illah (sebab) yang sama yang mana ‘illah tersebut menjadi pemangkin untuk mengetahui hukum perkara yang tidak dinyatakan hukumnya di dalam syarak itu tadi.
Dan rukun-rukun Al-Qiyas pula adalah :
(1) Al-Aslu : iaitu sesuatu perkara yang telah pun dinyatakan hukumnya di dalam syarak.
(2) Al-Far’u : iaitu sesuatu perkara yang tidak langsung dinyatakan hukumnya di dalam syarak.
(3) ‘Illah : iaitu suatu sebab atau sifat dari Al-Aslu yang menjadi pemangkin untuk mengetahui hukum perkara yang tidak dinyatakan hukumnya di dalam syarak (Al-.Far’u)
(4) Hukmul Asli : iaitu hukum yang sudah termaktub pada Al-Aslu yang diambil daripada Al-Quran dan As-Sunnah.
(5) An-Natijah : iaitu hasil hukum Al-Far’u yang didapati hasil daripada mencari ‘illah yang berkongsi dengan hukum Al-Aslu.
Sebagai contohnya adalah seperti berikut :
(1) Al-Aslu : Arak,telah pun Allah haramkan meminumnya pada peringkat terakhir pengharamanya pada ayat : “Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya minuman keras (arak),berjudi,(berkorban untuk) berhala dan mengundi nasib dengan anak panah adalah perbuatan keji dan termasuk perbuatan syaithan,maka jauhilah (perkara-perkara) tersebut agar kamu beruntung” (Al-Maidah : 90)
(2) Al-Far’u : Air perahan buah-buahan yang ditapai yang mana ianya memabukkan ataupun yang dipanggil di dalam bahasa arab sebagai An-Nabiiz,sesungguhnya hukum An-Nabiiz ini tidak dinyatakan hukumnya secara jelas samada di dalam Al-Quran ataupun As-Sunnah.
(3) ‘Illah : Sebab apakah arak diharamkan?? kerana ianya memabukkan dan menyebabkan hilangnya kewarasan aqal normal,yang mana dengan sebab tersebut bakal mengakibatkan lebih banyak keburukkan-keburukkan yang mendatang kepada diri,agama,kehidupan dunia dan juga masyarakat seperti : memudharatkan kesihatan ataupun boleh membawa kematian,menyebabkan pergaduhan ataupun pembunuhan secara tidak disedari dan juga keburukkan yang lain.
(4) Hukmul Asli : Hukum meminum arak adalah haram berdasarkan ayat yang dinyatakan tadi,yang mana hukum tersebut diketahui berdasarkan arahan tegas dari Allah yang berkata : “Maka jauhilah…” ayat ini berbentuk arahan sekaligus juga berbentuk larangan daripada mendekati perkara-perkara keji tersebut,begitu juga Allah telah menyamakan perkara-perkara tersebut dengan perbuatan syaithan,maka dapatlah difahami dari ayat tersebut bahawa meminum arak adalah haram.
(5) An-Natijah : Hasil yang didapati ialah : meminum sebarang jenis air yang boleh menyebabkan mabuk dan hilangnya kewarasan aqal adalah haram dan arak pula hukumnya haram maka secara automatik An-Nabiiz dihukum sebagai haram,kerana kedua-duanya berkongsi ‘illah yang sama iaitu boleh menyebabkan mabuk dan hilangnya kewarasan aqal normal.
Diantara syarat sah Al-Qiyas adalah Al-Aslu dan Al-Far’u mempunyai suatu persamaan didalam ‘illah seperti contoh tadi,oleh itu ‘illah kedua-dua perkara tersebut mestilah bersifat tepat dan bertetapan yang mana ianya tidak menerima perubahan yang besar jika berlakunya perubahan individu atau pun keadaan tertentu,dan jika berlaku perubahan yang kecil pula,ianya tidak akan memberi kesan,dan inilah yang dipanggil sebagai : ‘illah yang mundhobith…manakala jika ianya menerima perubahan yang besar ianya dipanggil sebagai : ‘illah al-Mudhthorabah (yang tidak tetap atau boleh berubah-ubah)
Sebagai contoh,arak…memabukkan dan penyebab hilangnya kewarasan aqal adalah suatu ‘illah yang bersifat tetap kepada pengharaman meminumnya,dan diqiyaskan daripada ‘illah tersebut kepada semua jenis minuman yang memabukkan,maka ‘illah memabukkan dan penyebab hilangnya kewarasan aqal itu tidak pula terkesan kepada perbezaan minuman yang memabukkan banyak dan yang memabukkan sedikit kerana perubahan kedua-dua keadaan tadi adalah perubahan yang kecil.
Manakala ‘illah Al-Mudhthorabah pula ialah ‘illah yang menerima perubahan yang besar disebabkan perubahan individu dan keadaan tertentu,contohnya seperti kepayahan dan kesusahan tidak boleh dijadikan ‘illah untuk berbuka puasa di bulan Ramadhan kepada orang yang bermusafir dan orang yang sakit,kerana keadaan kedua-duanya yang berubah-ubah,kerana bagi sesetengah orang bermusafir adalah tidak menjadi kepayahan kepadanya mungkin kerana kekuatan badannya,dan sesetengah orang ada yang merasakan kepayahan di dalam musafir,tetapi ‘illah yang mundhobit bagi berbuka puasa di bulan Ramadhan adalah semata-mata sebab musafir dan sakit.
(2) Diantara syarat sah Al-Qiyas ialah,hendaklah Al-Far’u itu tidak didasari oleh sebarang dalil dari Al-Quran dan As-Sunnah dan yang lain-lain,jika Al-Far’u itu telah pun didasari dengan dalil secara jelas dari Al-Quran dan As-Sunnah,maka ketika itu hukum dikembalikan kepada dalil yang menunjukkan hukum Al-Far’u tanpa melalui proses binaan Al-Qiyas,begitulah juga jika dalil yang mendasari hukum Al-Aslu pula telah merangkumi juga pada hukum Al-Far’u,maka ketika itu Al-Qiyas sudah dianggap tidak perlu.
Contohnya adalah seperti : berhukum bahawa An-Nabiiz itu haram berdasarkan daripada hadith nabi : (( Setiap yang memabukkan itu adalah haram )),jika dilihat dari hadith tersebut,ianya sudah pun menyatakan bahawa setiap yang membawa kepada mabuk adalah haram,dan An-Nabiiz itu boleh memabukkan,maka ianya haram berdasarkan hadith tersebut tanpa perlu melalui proses binaan Al-Qiyas.

No comments:

Post a Comment